NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Malaysia

Tony Pua Akan Dipanggil Beri Keterangan, Polis Terima 59 Laporan

SHAH ALAM – Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua dijangka dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu kuasa institusi diraja di negara ini.

Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar berkata, siasatan kes berkenaan kini dikendalikan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor (IPK Selangor).

Menurut beliau, sehingga pagi tadi sebanyak 59 laporan polis diterima di seluruh negara berhubung kenyataan yang dimuat naik oleh Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Democratic Action Party (DAP) itu.

“Laporan polis dibuat di pelbagai negeri dan bukan hanya membabitkan IPK Selangor sahaja. Namun, siasatan akan diselaraskan oleh IPK Selangor.

“Kita akan memberikan perkembangan lanjut dari semasa ke semasa mengikut keperluan siasatan,” katanya pada sidang media di IPK Selangor hari ini.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar memaklumkan polis membuka kertas siasatan terhadap Tony Pua susulan satu hantaran di Facebook miliknya yang mengulas isu titah diraja dan Rukun Negara.

Bekas wakil rakyat DAP itu dilaporkan mendakwa kuasa raja dalam sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia adalah terhad kepada perkara tertentu termasuk adat Melayu, agama Islam serta fungsi perlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar dan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berkaitan kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *