NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Malaysia

Tentera Israel Rempuh Kapal GSF, Semua 428 Peserta Diculik

KUALA LUMPUR – Tentera Israel didakwa bertindak agresif termasuk menggunakan kekerasan dan merempuh beberapa kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 ketika memintas konvoi tersebut di perairan antarabangsa, sekali gus menahan kesemua 428 peserta dari 40 negara.

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, tindakan rejim Zionis itu disifatkan sebagai pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Antarabangsa 1982.

Menurut beliau, dunia kini menyaksikan tindakan Israel yang didakwa menyerang kapal kemanusiaan di laluan laut antarabangsa seperti “lanun” di kawasan perairan bebas.

“Tindakan ketenteraan bersenjata di koridor laut bebas ini jelas melanggar Artikel 87 dan Artikel 90 UNCLOS 1982 yang menjamin kebebasan pelayaran bagi kapal awam termasuk kapal misi kemanusiaan.

“Perbuatan ini juga bertentangan dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta resolusi Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menuntut perlindungan penuh terhadap petugas kemanusiaan awam,” katanya pada sidang media di ibu pejabat SNCC hari ini.

Beliau berkata, SNCC mengesahkan bahawa dalam insiden pada 18 dan 19 Mei lalu, sebanyak 50 kapal yang membawa 428 aktivis kemanusiaan telah dipintas dan dikepung tentera Israel kira-kira 80 batu nautika dari pantai Gaza.

Menurutnya, laporan serta bukti visual menunjukkan kapal Sirius diserang menggunakan meriam air bertekanan tinggi selain dirempuh secara agresif oleh kapal tentera laut Israel beridentiti A833D.

Katanya lagi, terdapat juga rakaman yang menunjukkan tembakan dilepaskan ke arah kapal Girolama dan Elengi.

“Kesemua aktivis termasuk doktor, petugas media, kru kapal dan pembela hak asasi manusia kemudiannya ditahan di bawah ancaman senjata sebelum dipindahkan secara paksa ke kapal perang Israel dan dipercayai dibawa ke Pelabuhan Ashdod pada 19 Mei,” katanya.

Sani Araby berkata, pencerobohan itu turut membabitkan 18 kapal yang membawa seramai 29 rakyat Malaysia.

Beliau turut memaklumkan empat lagi rakyat Malaysia disahkan ditahan iaitu Muhammad Hareez Adzrami dan Chin Shiau Weai yang berada di kapal Alcyone, Syed Amirul Syafiq Syed Iskandar (Don Juan) serta Noor Thanisah Mohammad Tajudin (Zefiro).

Selain itu, empat daripada 11 delegasi Indonesia yang mewakili jaringan Sumud Nusantara turut disahkan ditahan pihak Israel.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Anwar Ibrahim dan Menteri Luar, Mohamad Hasan sedang menggerakkan usaha diplomatik bersama negara sahabat bagi memastikan semua aktivis dibebaskan segera dan berada dalam keadaan selamat.

Beliau turut menyatakan sokongan terhadap kenyataan Recep Tayyip Erdoğan yang menyifatkan tindakan Israel terhadap flotila kemanusiaan itu sebagai perbuatan “lanun dan penyamun” di perairan antarabangsa.

Katanya, insiden tersebut berlaku ketika Mahkamah Jenayah Antarabangsa dilaporkan mengeluarkan waran tangkap terhadap beberapa pemimpin tertinggi Israel atas dakwaan jenayah perang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *