NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

DuniaMalaysia

PM Nyata Komitmen, Gesa Pembebasan Aktivis GSF 2.0 Ditahan Israel – SNCC

SEPANG – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa kerajaan akan menggerakkan segala usaha diplomatik dan hubungan dua hala bagi mendesak pembebasan segera aktivis kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang ditahan Israel.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, komitmen tersebut disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri menerusi panggilan telefon kepada pihak SNCC hari ini.

Menurut beliau, Anwar kini mengetuai usaha bersama kerajaan Malaysia dengan menggunakan saluran diplomatik serta hubungan erat bersama beberapa negara termasuk Turkiye.

“Perdana Menteri telah berhubung secara langsung dengan Recep Tayyip Erdoğan bagi mendesak pembebasan segera semua aktivis yang diculik serta memastikan mereka berada dalam keadaan selamat dan tidak dipenjarakan di Penjara Ketziot,” katanya pada sidang media perkembangan misi GSF 2.0 di sini hari ini.

Beliau berkata, Mohamad Hasan bersama Kementerian Luar Negeri Malaysia turut mempergiat usaha diplomatik dengan Turkiye dan beberapa negara lain.

Katanya, wakil kedutaan Malaysia di Istanbul, Amman dan Kaherah juga sedang membuat persiapan bagi memastikan keselamatan serta pembebasan rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi kemanusiaan itu.

Menurut Sani Araby, insiden penahanan aktivis flotilla berkenaan turut menerima kecaman meluas masyarakat antarabangsa termasuk melalui demonstrasi dan kenyataan rasmi di Itali, Turkiye, Sepanyol, Perancis, Belgium, Ireland, Kanada, Belanda, Jerman, Korea Selatan, Australia dan Portugal.

“Masyarakat antarabangsa mengecam tindakan pencerobohan dan penculikan terhadap aktivis kemanusiaan yang berlaku di perairan antarabangsa,” katanya.

Beliau turut menyeru rakyat Malaysia untuk terus menunjukkan solidariti menerusi solat hajat, Qunut Nazilah, munajat nasional serta tekanan diplomatik dan advokasi sehingga semua delegasi kemanusiaan dibebaskan.

Semalam, SNCC mengesahkan kesemua 50 kapal GSF 2.0 yang membawa 428 aktivis dari 40 negara dipintas tentera laut Israel kira-kira 80 batu nautika dari pantai Gaza.

SNCC turut mengecam tindakan Menteri Keselamatan Nasional Israel, Itamar Ben-Gvir bersama tentera Israel yang didakwa melakukan kekerasan fizikal, tekanan mental dan ugutan terhadap aktivis terbabit.

Menurut Sani Araby, tindakan itu bercanggah dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta melanggar resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Statut Rom.

“Tindakan menyeksa, memukul atau melayan tahanan secara tidak berperikemanusiaan merupakan pelanggaran berat Konvensyen Geneva dan memperlihatkan wajah sebenar rejim aparteid Israel,” katanya.

Sebelum ini, tular video dimuat naik Ben-Gvir di media sosial yang memaparkan aktivis flotilla ditahan dengan tangan diikat serta dipaksa berlutut selepas dipintas di perairan antarabangsa.

Dalam perkembangan sama, SNCC memaklumkan sebahagian aktivis yang ditahan dijangka dipindahkan ke Penjara Ketziot dalam masa terdekat.

Beliau berkata, pasukan guaman Sumud Nusantara bersama Centre For Human Rights Research and Advocacy dan Adalah yang berpangkalan di Haifa kini berada di Pelabuhan Ashdod bagi mendapatkan akses kepada para aktivis.

“Mereka mengesahkan aktivis termasuk rakyat Malaysia berada dalam keadaan stabil dan sedang menunggu kebenaran untuk ditemui,” katanya.

Sani Araby turut memaklumkan sekurang-kurangnya 87 aktivis yang kini ditahan di Pelabuhan Ashdod telah melancarkan mogok lapar sebagai bantahan terhadap penahanan yang didakwa tidak sah serta layanan tidak berperikemanusiaan oleh pihak Israel.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *