PH Kini Pembangkang Di Melaka, 5 ADUN Tarik Sokongan
AYER KEROH – Pakatan Harapan (PH) Melaka mengumumkan penarikan sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, sekali gus menamatkan penyertaan gabungan itu dalam pentadbiran negeri.
Keputusan tersebut diumumkan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka meluluskan Rang Undang-Undang Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 yang membolehkan pelantikan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan pada Persidangan Kedua, Penggal Kelima DUN Ke-15 di Seri Negeri, pada Selasa.
Pengumuman itu dibuat Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong dalam sidang media khas yang turut dihadiri empat ADUN DAP, iaitu Allex Seah Shoo Chin (Kesidang), Kerk Chee Yee (Ayer Keroh), Low Chee Leong (Kota Laksamana) dan Leng Chau Yen (Banda Hilir).
Turut bersama dalam keputusan itu ialah ADUN Bukit Katil daripada AMANAH, Adly Zahari, menjadikan kelima-lima wakil rakyat tersebut kini berada di blok pembangkang DUN Melaka.
Susulan keputusan berkenaan, semua ADUN terbabit turut mengumumkan peletakan jawatan daripada semua jawatan yang disandang dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Ia melibatkan Shoo Chin yang melepaskan jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), Chee Yee sebagai Timbalan Speaker DUN, manakala Chee Leong dan Chau Yen meletakkan jawatan sebagai Timbalan EXCO.
Poay Tiong berkata, semua Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dilantik atas kuota PH juga akan mengemukakan peletakan jawatan.
Menurutnya, keputusan menarik diri daripada pentadbiran dibuat kerana PH tidak bersetuju dengan pelaksanaan ADUN lantikan yang disifatkan bertentangan dengan prinsip demokrasi.
“ADUN sepatutnya dipilih melalui pilihan raya dan mandat itu perlu diberikan oleh rakyat, bukannya melalui pelantikan.
“Jika kerajaan negeri memerlukan kepakaran golongan profesional atau pakar, mereka boleh dilantik sebagai penasihat, bukannya sebagai ADUN lantikan yang mempunyai hak untuk menghadiri persidangan dan mengundi dalam DUN,” katanya.
Beliau berkata, PH tidak menolak penglibatan golongan profesional dalam pentadbiran, namun berpendirian ia tidak seharusnya dilaksanakan menerusi mekanisme pelantikan ADUN.
“Memandangkan kami tidak menyokong usul tersebut, maka adalah wajar untuk kami menarik diri daripada pentadbiran kerajaan negeri berkuat kuasa serta-merta.
“Surat peletakan jawatan semua wakil DAP yang memegang jawatan dalam kerajaan negeri akan diserahkan kepada Ketua Menteri hari ini,” katanya.
Dalam masa sama, Poay Tiong yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka merakamkan penghargaan kepada Ab Rauf kerana memberi peluang kepada PH menyertai pentadbiran kerajaan negeri sepanjang tempoh kerjasama tersebut.
Berdasarkan komposisi terkini Dewan Undangan Negeri Melaka, Barisan Nasional (BN) memiliki 20 kerusi, Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi, manakala PH kekal dengan lima kerusi namun kini berada di blok pembangkang.
