ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Harga Minyak Malaysia Lebih Rendah Berbanding Arab Saudi, Qatar – PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan harga runcit petrol di Malaysia masih lebih rendah berbanding beberapa negara pengeluar minyak utama seperti Arab Saudi, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Beliau berkata, harga petrol RON95 bersubsidi di Malaysia kekal pada RM1.99 seliter, manakala harga bahan api di Arab Saudi kini melebihi RM2.40 seliter.

Menurutnya, fakta itu membuktikan dakwaan bahawa harga minyak di Malaysia tidak lagi kompetitif berbanding negara pengeluar minyak adalah tidak tepat.

“Harga minyak di Malaysia lebih rendah daripada Qatar dan Arab Saudi. Itu fakta yang harus diingat.

“Dulu ketika kita mendesak supaya harga minyak diturunkan kepada RM1.50, harga petrol di Arab Saudi sekitar 50 sen seliter. Hari ini, RON95 di Malaysia kekal RM1.99 seliter, sedangkan di Arab Saudi harganya melebihi RM2.40 seliter.

“Qatar dan UAE juga mencatatkan harga yang lebih tinggi, malah UAE menaikkan harga minyak dua bulan lalu walaupun negara itu merupakan pengeluar utama minyak dunia,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang membangkitkan perbandingan harga minyak semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, serta kenyataan Anwar ketika menjadi pembangkang mengenai penurunan harga bahan api.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, dasar harga bahan api tidak boleh dinilai secara berasingan sebaliknya perlu dilihat bersama pelbagai bentuk bantuan yang disediakan kerajaan kepada rakyat.

Katanya, kerajaan kini menyalurkan bantuan menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), subsidi petrol RON95 serta Program BUDI Diesel yang secara keseluruhannya memberi manfaat lebih besar kepada rakyat.

“Keseluruhan bantuan yang diberikan sekarang jauh lebih tinggi berbanding sebelum ini. Namun saya tidak mahu membuat perbandingan kerana keadaan ekonomi dan kedudukan kewangan negara pada setiap tempoh adalah berbeza,” katanya.

Anwar turut menegaskan kerajaan sentiasa terbuka menerima cadangan penambahbaikan berkaitan dasar harga bahan api, dengan setiap keputusan dibuat selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak bagi memastikan kestabilan ekonomi serta kebajikan rakyat terus terpelihara.

Terdahulu, Rosol meminta Perdana Menteri menjelaskan penilaian kerajaan terhadap kesan krisis berpanjangan di Selat Hormuz serta langkah yang diambil bagi mengurangkan impaknya kepada negara.

Menjawab perkara itu, Anwar berkata kerajaan memberi tumpuan kepada usaha memastikan bekalan bahan api kekal mencukupi, mengawal kestabilan harga barangan, membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta memperkukuh daya tahan ekonomi negara.

Beliau berkata, peruntukan STR dan SARA ditingkatkan kepada RM15 bilion tahun ini yang memberi manfaat kepada lebih sembilan juta penerima.

Selain itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) turut menyediakan potongan sewa premis perniagaan bagi mengurangkan beban usahawan.

Anwar berkata, ketegangan geopolitik di Asia Barat serta gangguan terhadap laluan perdagangan strategik seperti Selat Hormuz terus memberi tekanan kepada ekonomi global dan Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *