ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Hiburan

Syed Saddiq, Bella Astillah Nikah 10 Oktober Ini Di Menara Merdeka Maybank

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan tunangnya, Bella Astillah mengumumkan bakal melangsungkan pernikahan pada 10 Oktober ini di aras 118, Menara Merdeka Maybank, di sini.

Syed Saddiq, 34, dan Bella, 32, yang bertunang pada 28 Mac lepas, turut memilih konsep serba putih dengan sentuhan elemen Arab atau Islamik atas permintaan keluarga bagi majlis pernikahan mereka.

Pengumuman itu dibuat menerusi siaran langsung program hiburan MeleTOP malam tadi, yang turut menampilkan klip video khas pasangan berkenaan mengenakan busana tradisional serba putih.

Klip berkenaan memaparkan Syed Saddiq dan Bella berjalan sambil berbalas kata-kata romantis sebelum tarikh pernikahan mereka didedahkan pada penghujung video, sekali gus mencetuskan keterujaan dalam kalangan penonton.

Syed Saddiq berkata pemilihan tarikh berkenaan dibuat selepas mengambil kira pelbagai persiapan selain menghargai doa dan nasihat yang diterima daripada orang ramai sejak mereka mengumumkan pertunangan.

“Saya terhutang budi kepada semua yang tidak putus mendoakan dan sampaikan nasihat. Saya memang baca dan ambil secara serius.

“Kalau boleh memang hendak kahwin lebih awal. Tetapi ini yang paling awal kami boleh buat persediaan. Oktober ialah bulan yang akan kami memulakan hidup baharu,” katanya menerusi program yang dihoskan Nabil Ahmad dan Namie itu.

Pasangan berkenaan turut merancang mengadakan majlis persandingan pada bulan sama selain beberapa majlis lain di Kuala Lumpur, Muar dan Sabah.

Syed Saddiq turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan Menara Merdeka Maybank kerana memberi keizinan untuk mereka melangsungkan majlis pernikahan di lokasi berkenaan.

Klip video khas memaparkan Syed Saddiq dan Bella mengenakan busana tradisional serba putih, ditayangkan dalam program MeleTOP, malam tadi. – Foto IG Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

Menurutnya, pemilihan lokasi itu mempunyai nilai sentimental tersendiri kerana majlis mereka bakal menjadi antara acara pernikahan terawal yang dianjurkan di tingkat 118 bangunan berkenaan.

“Saya turut ucapkan terima kasih kepada Menara Merdeka Maybank kerana bagi (keizinan) bernikah di sana. Istimewanya, ini bakal menjadi yang pertama majlis pernikahan diadakan di tingkat 118,” katanya.

Turut hadir pada program berkenaan ialah ibu bapa Syed Saddiq dan Bella.

Pengumuman tarikh pernikahan pasangan yang diberi jolokan ‘BASS’ oleh peminat itu sememangnya dinanti-nantikan selepas mereka mengikat tali pertunangan pada akhir Mac lepas.

Pada 25 Julai lepas, Syed Saddiq dan Bella menarik perhatian ramai selepas memuat naik foto berkonsepkan busana perkahwinan yang disifatkan netizen sebagai rakaman praperkahwinan mereka.

Perkongsian itu mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai tarikh pernikahan mereka, lebih-lebih lagi selepas pasangan berkenaan berkunjung ke pejabat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya bulan lepas.

Sebelum ini, Syed Saddiq mengesahkan tarikh pernikahan mereka telah dipersetujui keluarga namun belum bersedia untuk mengumumkannya.

Syed Saddiq dan Bella dilaporkan mula berkenalan dengan lebih rapat pada 2025 sebelum bertunang pada 28 Mac lepas.

Bella sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan penyanyi dan pelakon Singapura, Aliff Aziz, pada 2016. Pasangan itu bercerai buat kali pertama pada 2019 sebelum kembali rujuk dalam tempoh edah.

Bagaimanapun, mereka bercerai kali kedua pada 13 Jun 2024 dan dikurniakan dua cahaya mata, Mohamad Ayden Adrean, 9, dan Ara Adreanna, 6.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *