ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

JIM-MCMC Meterai MoU Perkukuh Kerjasama Banteras Jenayah Dalam Talian

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkukuh kerjasama menerusi pertukaran memorandum persefahaman (MoU), khususnya dalam perkongsian risikan serta tindakan terhadap jenayah dalam talian.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kerjasama itu merangkumi empat teras utama iaitu pembangunan kapasiti sumber manusia, perkongsian maklumat risikan, siasatan bersama serta operasi bersepadu.

“Penggabungan kepakaran kedua-dua agensi mampu meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan, terutama apabila sesuatu kes memerlukan tindakan susulan secara bersama.

“Inisiatif JIM dan MCMC langkah yang betul untuk menggabung dua kekuatan agensi ini. Sekurang-kurangnya untuk kita mitigate (mengurangkan) potensi jenayah yang semakin menggerunkan,” katanya ketika berucap pada majlis pertukaran MoU itu di sini hari ini.

Pertukaran MoU berkenaan disempurnakan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban dengan disaksikan Saifuddin Nasution dan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Sementara itu, Fahmi berkata lebih 470,000 kandungan berbahaya telah dikenal pasti MCMC, dengan 93 peratus daripadanya berjaya diturunkan oleh platform terbabit.

Beliau berkata 91 peratus daripada permohonan penurunan kandungan itu melibatkan kandungan berkaitan perjudian dalam talian dan penipuan.

“Jadi sangat jelas usaha pihak MCMC untuk memastikan platform seperti Facebook, TikTok dan Threads bebas daripada jenayah serta kemudaratan dalam talian,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *