Home / Sukan / STADIUM SULTAN IBRAHIM DIPILIH JADI VENUE FINAL PIALA FA 2026–2027

STADIUM SULTAN IBRAHIM DIPILIH JADI VENUE FINAL PIALA FA 2026–2027

KUALA LUMPUR – Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di Iskandar Puteri, Johor bakal menjadi gelanggang perlawanan akhir Piala FA 2026–2027 yang dijadualkan berlangsung pada 16 Januari 2027.

Keputusan itu dibuat oleh Malaysian Football League (MFL) menerusi Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Ketiga bagi Penggal 2025–2029 pada 3 November lalu.

Pemilihan SSI dibuat selepas TM Stadium Nasional di Bukit Jalil tidak dapat digunakan susulan kerja-kerja menaik taraf padang, trek balapan dan kemudahan stadium sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA 2027. Kerja naik taraf tersebut dijangka siap pada Mei 2027.

Menurut MFL, beberapa aspek menjadi pertimbangan dalam pemilihan venue, termasuk kualiti permukaan padang, pengurusan logistik, penginapan pasukan, kemudahan stadium, akses, keselamatan serta keperluan produksi siaran langsung.

SSI yang mampu menampung 35,109 penonton turut mempunyai pengalaman menganjurkan perlawanan antarabangsa melibatkan Harimau Malaya, antaranya menentang Palestin pada 8 September 2025 dan Nepal pada 25 Mac 2025.

Stadium itu juga pernah menjadi lokasi final Piala FA 2023, menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City) dengan keputusan 2-0.

MFL berharap pemilihan SSI dapat memberikan pengalaman terbaik kepada kedua-dua pasukan finalis serta penyokong yang bakal hadir menyaksikan perebutan trofi tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *