RANTAU PANJANG – Cubaan seorang lelaki mengelak pemeriksaan Pasukan Gerakan Am (PGA) membawa kepada penemuan kira-kira 11 kilogram (kg) dadah disyaki ganja di Jalan Kasban, Jeram Perdah, pada Rabu malam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, anggota Strike Force Kompeni A Batalion 7 PGA yang sedang menjalankan rondaan bermotosikal mengesan sebuah Honda Wave ditunggang seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
Anggota kemudian mengekori motosikal berkenaan dan mengarahkan penunggangnya berhenti untuk pemeriksaan. Namun, lelaki itu bertindak memecut sebelum motosikalnya terbabas di jalan berlumpur.
Penunggang terbabit melarikan diri ke kawasan semak berhampiran dan gagal dikesan walaupun operasi pencarian dilakukan. Dia meninggalkan motosikal bersama dua beg yang mengandungi 100 ketulan mampat disyaki ganja.
Komander Briged Tenggara, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, sebanyak 40 ketulan seberat 4.4kg ditemukan dalam beg galas, manakala 60 ketulan lagi seberat 6.6kg berada di dalam beg pakaian.
Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM34,100. Selain itu, sebuah motosikal Honda Wave bernilai RM1,000 dan satu anak kunci turut dirampas, menjadikan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM35,100.
Semakan nombor enjin dan casis motosikal itu tidak menemukan sebarang rekod, sekali gus dipercayai kenderaan berkenaan berasal dari Thailand.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala semua barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah IPD Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
Foto : PGA









