Home / Dunia / REMAJA DITAHAN DISYAKI RANCANG SERANGAN PENGGANAS DI MOSCOW, GAMBAR TIKTOK CETUS SIASATAN

REMAJA DITAHAN DISYAKI RANCANG SERANGAN PENGGANAS DI MOSCOW, GAMBAR TIKTOK CETUS SIASATAN

MOSCOW – Pihak berkuasa Rusia menahan seorang remaja warga negara itu selepas disyaki merancang serangan pengganas di Muzium Tsaritsyno, Moscow, susulan penemuan hantaran berunsur ancaman di platform TikTok.

Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia (FSB) memaklumkan siasatan dijalankan bersama Pengawal Kebangsaan Rusia, Kementerian Dalam Negeri dan Jawatankuasa Siasatan selepas menerima maklumat daripada agensi penguatkuasaan undang-undang Amerika Syarikat (AS) mengenai kemungkinan persiapan serangan di lokasi berkenaan.

Menurut FSB, remaja terbabit memuat naik gambar dirinya memakai pakaian taktikal, penutup muka, topi, cermin mata hitam dan fon kepala sambil memegang objek menyerupai senjata automatik.

Dia turut memuat naik gambar di Muzium Tsaritsyno dengan kapsyen “Saya sudah menemui lokasinya”, sekali gus mencetuskan kebimbangan pihak berkuasa.

Pemeriksaan di kediaman suspek menemukan pakaian dan aksesori yang dipercayai digunakan dalam gambar tersebut. Pemeriksaan telefon bimbitnya pula menemui akaun TikTok yang digunakan untuk memuat naik ancaman, langganan saluran berfahaman neo-Nazi di Telegram serta sejumlah besar carian berkaitan serangan pengganas, pembunuhan beramai-ramai dan keganasan.

Susulan kejadian itu, semua acara kebudayaan dan aktiviti awam di muzium serta taman berkenaan dibatalkan, manakala kawalan keselamatan dipertingkatkan sepanjang siasatan dijalankan.

FSB turut merakamkan penghargaan kepada pihak AS atas perkongsian maklumat yang membantu tindakan penguatkuasaan tersebut.

Sumber : BERNAMA-TASS

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *