LOS ANGELES – Pengarah filem terkenal Hollywood, Michael Mann, 83, mengalami kecederaan selepas senjata api yang dibawanya meletup secara tidak sengaja ketika berada di sebuah lapang sasar di Los Angeles, Amerika Syarikat, pada Sabtu lalu.
Wakil beliau memaklumkan kejadian berlaku ketika senjata api berkenaan masih berada dalam sarungnya sebelum tiba-tiba meletup dan menyebabkan kecederaan pada pengarah filem Heat itu.
Menurut kenyataan wakilnya, Mann mengalami kecederaan ringan pada bahagian badan dan telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum dibenarkan keluar.
Polis Los Angeles turut mengesahkan insiden berkenaan sebagai kejadian tidak disengajakan. Mann dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas dibawa ke hospital.
Mann yang terkenal menerusi filem Heat, Collateral dan Ferrari merupakan seorang penembak sasaran berpengalaman sejak beberapa dekad lalu.
Dalam perkembangan lain, beliau sedang membangunkan sekuel filem Heat yang dijangka memulakan penggambaran pada awal tahun depan.









