Pamer Kekayaan Luar Biasa Di Media Sosial, Polis Pantau Pengasas Kosmetik, Peniaga ‘Online’
KOTA BHARU – Polis memantau aktiviti segelintir pengasas produk kosmetik dan usahawan jualan dalam talian yang mempamerkan kekayaan luar biasa di media sosial bagi mengesan kemungkinan berlakunya aktiviti pengubahan wang haram.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata setakat ini pihaknya tidak mengesan unsur penipuan dalam aktiviti perniagaan golongan berkenaan, namun tindakan mempamerkan wang tunai dan gaya hidup mewah menerusi siaran langsung di media sosial menimbulkan perhatian pihak berkuasa.
Beliau berkata pemantauan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada terdapat unsur pengubahan wang haram dalam aktiviti kewangan mereka.
“Mereka kini berada dalam radar kami. Kita memantau dari aspek pengubahan wang haram dan sekiranya terdapat sebarang kesalahan, tindakan akan diambil bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya.
Mohd Yusoff berkata individu yang disiasat perlu mengemukakan dokumen sokongan termasuk resit dan rekod transaksi bagi membuktikan sumber kewangan mereka.
Beliau berkata tindakan mempamerkan kekayaan secara berlebihan di media sosial dipercayai bertujuan menarik perhatian orang ramai terhadap produk yang dipasarkan.
“Apabila orang melihat seseorang itu hidup mewah atau memiliki wang tunai yang banyak, mereka mungkin menganggap perniagaan itu sangat berjaya dan mampu memberikan keuntungan besar,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Yusoff menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap sindiket penipuan dalam talian dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.
Beliau turut menggesa masyarakat meningkatkan pengetahuan mengenai taktik yang digunakan sindiket penipuan, mengelakkan menjawab panggilan daripada nombor tidak dikenali serta menggunakan platform urus niaga yang sah dan dipercayai.
“Sekiranya ada tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam masa singkat, orang ramai perlu berasa curiga. Peganglah pepatah ‘bukan senang hendak menjadi senang’ supaya kita tidak mudah diperdaya.
“Jika kurang pasti, gunakan sumber maklumat yang boleh dipercayai atau aplikasi seperti ChatGPT untuk mendapatkan panduan bagaimana mengelakkan diri daripada menjadi mangsa scammer,” katanya.
