MB Perlis Letak Jawatan MPT BERSATU, Fokus Tadbir Negeri
KUALA PERLIS – Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah mengesahkan beliau telah meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada pentadbiran kerajaan negeri.
Beliau berkata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena merangkap EXCO kerajaan negeri, Marzita Mansor, turut mengemukakan surat peletakan jawatan daripada MPT BERSATU pada minggu lalu atas pertimbangan yang sama.
Abu Bakar berkata keputusan itu dibuat berikutan kekangan masa untuk menghadiri mesyuarat di peringkat pusat selain mahu memberi fokus kepada pembangunan Perlis, memandangkan tempoh pentadbiran kerajaan negeri berbaki kira-kira setahun lagi.
“Peletakan jawatan ini tidak menjejaskan kedudukan saya sebagai Menteri Besar. Saya mengambil keputusan itu kerana tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya kepada MPT dalam keadaan tugas di Perlis yang semakin mencabar.
“Saya dan Marzita telah berbincang secara mendalam sebelum membuat keputusan ini. Kami memberi peluang kepada individu lain untuk meneruskan tanggungjawab di peringkat pusat, manakala kami memberi tumpuan kepada perkhidmatan di negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis sambutan ketibaan pelancong dari Thailand sempena pembukaan semula laluan feri Kuala Perlis-Satun di sini hari ini.
Abu Bakar berkata beliau bagaimanapun kekal sebagai ahli BERSATU, Ketua Badan Pimpinan BERSATU Perlis serta Ketua BERSATU Bahagian Kangar dengan persetujuan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau turut menafikan peletakan jawatan itu mempunyai kaitan dengan kemelut politik semasa atau sebarang hasrat untuk meninggalkan parti.
“Keputusan ini tiada kaitan dengan situasi politik di peringkat pusat ataupun niat untuk menyertai parti lain. Kami masih terikat dengan Akta Antilompat Parti dan sentiasa mendapat sokongan serta layanan baik daripada kepimpinan parti.
“Fokus saya kini adalah memperkukuh semula organisasi BERSATU di Perlis kerana terdapat beberapa jawatankuasa bahagian yang perlu disusun semula,” katanya.
Mengulas mengenai pentadbiran negeri, Abu Bakar berkata beliau komited untuk terus memimpin kerajaan Perlis sehingga tamat penggal Dewan Undangan Negeri selaras dengan titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Katanya, keutamaan ketika ini adalah menarik lebih banyak pelaburan ke negeri itu serta memastikan sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kerajaan negeri dapat dicapai.
“Insya-Allah, beberapa perancangan baharu yang memberi manfaat kepada rakyat dan merancakkan pembangunan negeri akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.
