ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Nahas Lori Imigresen: Isteri Tercari-Cari Suami, Anak-Anak Yang Sudah Tiada

IPOH – Keadaan kesihatan seorang wanita yang terselamat dalam nahas membabitkan empat sekeluarga selepas dirempuh sebuah lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, Rabu lalu, semakin stabil.

Norhayati Razali, 55, yang sebelum ini dilaporkan mengalami kecederaan parah, telah dipindahkan ke wad biasa Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Abangnya, Mohd Nadzri Razali, 69, berkata perkembangan kesihatan adiknya menunjukkan tanda positif dan masih berada di bawah pemantauan pasukan perubatan.

“Dia sudah masuk ke wad biasa dan keadaannya semakin baik. Cuma sekarang masih di HKL dan belum diketahui sama ada dia boleh dipindahkan ke hospital lain atau tidak,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Nadzri berkata Norhayati telah dimaklumkan mengenai pemergian suaminya serta dua anak perempuannya yang maut dalam nahas berkenaan.

Beliau berkata Norhayati turut dibawa melihat jenazah ketiga-tiga ahli keluarganya sebelum mereka dibawa pulang ke Kampar untuk urusan pengebumian pada Rabu.

“Dia memang sudah tahu, tetapi kadang-kadang dia terlupa. Ada masa dia bertanya kenapa suami dan anak-anaknya tidak datang melawat,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, suami Norhayati, Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, serta dua anak perempuan mereka, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12, meninggal dunia di tempat kejadian.

Nahas berlaku ketika empat sekeluarga itu berada di pembahagi jalan berhampiran persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Ismail sebelum sebuah lori JIM yang dipercayai datang dari arah Wisma FGV hilang kawalan dan terbabas ke arah mereka.

Keluarga dari Kampar itu dilaporkan berada di Kuala Lumpur sebelum meneruskan perjalanan untuk menziarahi ibu Shaik Mohd Firdaus di Semenyih, Selangor.

Sementara itu, Mohd Nadzri berkata anak sulung pasangan berkenaan, Siti Nor Shakira, 28, semakin menerima kenyataan atas kehilangan bapanya serta dua adik perempuannya.

“Walaupun masih sedih dan banyak berdiam diri, dia nampak semakin tenang,” katanya.

Beliau berkata kawasan perkuburan keluarga itu turut dikunjungi ramai kenalan termasuk rakan sekerja arwah Shaik Mohd Firdaus serta rakan sekolah kedua-dua anak mangsa.

“Sejak semalam, ramai yang datang menziarahi kubur,” katanya.

Jenazah Shaik Mohd Firdaus bersama dua anak perempuannya selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Hitam Labu, Kampar, kira-kira 11 malam pada Rabu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *