ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Pelaburan Felda Dalam EHP Rugi RM2.5 Bilion, Anwar Minta Bantuan Prabowo

BANGI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah mengutus surat rasmi kepada Presiden Indonesia, Prabowo Subianto bagi memohon perhatian khusus terhadap pelaburan Felda di negara itu, khususnya membabitkan PT Eagle High Plantations Tbk (EHP).

Beliau berkata langkah itu diambil susulan potensi kerugian kewangan berskala besar berjumlah RM2.5 bilion yang terpaksa ditanggung Felda akibat keputusan pengurusan terdahulu, dengan pulangan yang dijangka diterima kelak hanya sekitar RM200 juta.

“Pelaburan ini (EHP) yang tersangkut di mahkamah di Indonesia. Saya telah menulis surat kepada Presiden Prabowo Subianto meminta beliau melihat juga masalah ini.

“Kemudian kalau tidak ditangani, RM2.5 bilion ini yang mungkin kita peroleh nanti RM200 juta. Ini satu contoh,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Sesi Ramah Mesra Bersama Pengurusan Tertinggi dan Pengurus Felda di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Felda Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir dan Pengarah Besar Felda Datuk Suzana Idayu Wati Osman.

Menurut laporan sebelum ini, wang berkenaan masih belum dapat diperoleh semula Felda berikutan pulangan pelaburan itu masih dicabar pihak EHP di mahkamah Indonesia.

Anwar berkata pendedahan mengenai jumlah kerugian berkenaan dibuat bagi memastikan seluruh barisan pengurusan Felda, termasuk di peringkat akar umbi, memahami cabaran besar yang perlu ditangani agensi berkenaan untuk kembali pulih.

“Saya mahu pengurus tahu, dan betapa beratnya untuk pulih … bukan masalah pengurus. Pengurus Felda di Pahang, di Johor, apa kena-mengena (dengan pelaburan ini)? Tetapi (masalah ini) ditanggung oleh kita, itu masalahnya, jadi (semua) harus tahu.

“Yang soal siasatan penguatkuasaan mahkamah, itu urusan lain. Tetapi saya mahu semua masalah ini, saya juga beritahu Suzana (Idayu Wati), saya mahu pengurus itu faham,” katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri mahu semua peringkat pengurusan memahami permasalahan sebenar yang dihadapi Felda serta tidak terpengaruh dengan sebarang naratif atau propaganda yang cuba memperkecilkan isu tatakelola agensi berkenaan.

“Saya berulang kali sebut bahawa masalah ini kita tanggung … perkara yang perlu saya tekankan ialah, saya mahu pengurus Felda keseluruhannya benar-benar menghadam permasalahan.

“Bukannya bermaksud untuk kadang-kadang rasa lelah atau letih, tetapi tahu bahawa masalah ini mesti dan wajib ditangani,” katanya.

Mengulas usaha pemulihan menyeluruh Felda, Anwar memberi jaminan kerajaan komited mempercepat pelaksanaan projek kebajikan asas, termasuk peruntukan bagi membaiki rumah pengurus dan peneroka tanpa perlu menunggu belanjawan tahun depan.

Beliau turut menegaskan penekanan terhadap prinsip tatakelola, integriti dan kebertanggungjawaban bukan bertujuan mencari kesalahan mana-mana pihak, sebaliknya untuk menyelamatkan amanah rakyat serta memastikan Felda kembali menjadi institusi yang unggul dan dibanggakan negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *