ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

RCI Tabung Haji: Bekas CEO Direman 7 Hari

PUTRAJAYA – Seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji (TH) direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung pendedahan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai institusi itu.

Perintah reman sehingga 27 Ogos itu dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan permohonan di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Sebelum itu, lelaki berusia lingkungan 60-an berkenaan dilihat tiba di kompleks mahkamah kira-kira 9.35 pagi dengan menaiki sebuah kenderaan.

Ahli korporat itu yang memakai pakaian lokap SPRM berwarna oren kelihatan tenang ketika diiringi pegawai suruhanjaya berkenaan.

Jumaat lalu, SPRM menahan tujuh individu, termasuk seorang wanita, bagi membantu siasatan berhubung isu yang dikaitkan dengan dapatan Laporan RCI TH.

Mereka terdiri daripada seorang CEO, pengarah syarikat, bekas pengarah syarikat serta empat bekas pegawai pengurusan kanan TH.

Seorang daripada mereka, iaitu CEO sebuah syarikat perkapalan bergelar Datuk berusia lingkungan 60-an, ditahan kerana disyaki mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran palsu ketika membuat bayaran kepada TH, dipercayai membabitkan pemalsuan dokumen kontrak sebuah syarikat petroleum bagi kepentingan syarikat miliknya.

Dua lagi individu, masing-masing bergelar Datuk dan Datuk Seri serta berusia lingkungan 60-an, pula disyaki memperdayakan pegawai TH untuk membuat pelaburan dalam sebuah syarikat pembinaan dengan menjanjikan potensi syarikat itu untuk disenaraikan di Bursa Malaysia.

Empat bekas pegawai pengurusan kanan TH berusia antara 50 hingga 60-an, termasuk seorang bergelar Datuk Seri dan seorang wanita, pula disyaki terbabit dalam amalan rasuah yang mendorong TH memasuki perjanjian pajakan empat hotel dengan sebuah syarikat di Arab Saudi bernilai SR2.49 bilion, yang didakwa menyebabkan kerugian kepada institusi itu.

Sebelum ini, dua suspek lelaki iaitu CEO syarikat perkapalan dan seorang pengarah syarikat pembinaan bergelar Datuk direman selama lima hari sehingga 19 Ogos, manakala lima individu lain dibebaskan dengan jaminan SPRM atas faktor kesihatan.

Laporan RCI mengenai TH yang didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu antara lain merekodkan pelbagai kelemahan berkaitan pengurusan dan tadbir urus institusi itu bagi tempoh 2014 hingga 2020, selain mengemukakan 25 syor penambahbaikan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *