ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

Sudut AbiqverseTerkini

Malam Pemergian Ibu Jadi Detik Paling Murung – PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi pengalaman paling sukar dalam hidupnya apabila mengenang kembali saat ibunya meninggal dunia ketika beliau masih berada dalam penjara.

Menurut Anwar, berita mengenai keadaan ibunya yang semakin tenat diterima ketika beliau berada di sebalik tirai besi, menyebabkan beliau berusaha mendapatkan kebenaran untuk bertemu ibunya buat kali terakhir.

Anwar berkata, beliau akhirnya diberikan peluang bertemu ibunya di hospital selama kira-kira setengah jam.

Ketika pertemuan itu, ibunya masih sedar dan kelihatan gembira sebelum Anwar kembali semula ke penjara.

Tidak lama selepas itu, beliau menerima berita bahawa ibunya telah meninggal dunia.

Anwar menyifatkan malam tersebut sebagai antara detik paling murung dalam hidupnya kerana tidak dapat berada di sisi ibunya pada saat akhir.

Ketika berada dalam tahanan, beliau hanya mampu menunaikan solat, membaca al-Quran dan berdoa sebelum dibenarkan keluar pada keesokan harinya untuk menghadiri solat jenazah ibunya.

Mengimbas pengalaman itu dalam podcast Sembang OhhYeahh!, Anwar turut berkata kehilangan seorang ibu dirasakan lebih berat berbanding kehilangan seorang bapa.

Selain kisah pemergian ibunya, Perdana Menteri turut berkongsi pengalaman pahit sepanjang berada dalam tahanan, termasuk mendakwa pernah dipukul sehingga pengsan pada hari pertama dipenjarakan.

Bagaimanapun, Anwar berkata pengalaman sukar tersebut tidak menyebabkan beliau mengalah kerana perjuangan yang dibawanya turut melibatkan masa depan generasi akan datang.

Beliau menegaskan perjuangan untuk membawa perubahan bukan sesuatu yang mudah dan memerlukan pengorbanan yang besar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *