Tuanku Muhriz Turun Takhta, Tuanku Nadzaruddin YDPB Sah – MMK Negeri Sembilan
SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan memutuskan secara kolektif bahawa proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah sah.
Menerusi kenyataan hari ini, kerajaan negeri memaklumkan keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang pada Selasa dan dipengerusikan Menteri Besar Datuk Ismail Lasim.
Mesyuarat itu turut mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu, berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan itu, proklamasi penurunan takhta bertarikh 19 April 2026, yang dibuat menurut Perkara 10 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959, telah ditandatangani dan dicop mohor oleh Undang Luak yang sah.
“Adalah prerogatif mutlak Undang Yang Empat untuk memilih dan menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan prerogatif ini dijamin oleh Perkara 32 dan Perkara 79 UUTKNS 1959 serta Perkara 71 dan 181 Perlembagaan Persekutuan.
“Proklamasi tersebut juga telah ditandatangani oleh Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim pada 3 Ogos 2026 menjadikan proklamasi tersebut sempurna menurut Perkara 10 (2) UUTKNS 1959,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan barisan exco kerajaan negeri sebulat suara berpandangan bahawa proklamasi pemilihan Tuanku Nadzaruddin, menurut Perkara 11 UUTKNS 1959 dan bertarikh 19 April 2026, telah ditandatangani serta dicop mohor oleh Undang Luak yang sah dan berkuat kuasa.
Sehubungan itu, kerajaan negeri menyifatkan proklamasi berkenaan sebagai teratur dan sempurna menurut UUTKNS 1959.
“Bahawa pentadbiran kerajaan negeri hendaklah mengambil langkah serta-merta melaksanakan pengumuman ini bagi mematuhi sabda dan ketetapan Undang Yang Empat,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan berkenaan turut dikongsikan Exco Kemajuan Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah Negeri Sembilan Datuk Mohd Faizal Ramli menerusi Facebook.
Barisan exco kerajaan negeri terdiri daripada Ismail; Datuk Zaifulbahri Idris (Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Modal Insan); Datuk Mustapha Nagoor (Pembangunan Belia dan Sukan); Siow Kong Choon (Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Hal Ehwal Bukan Islam); serta Siti Nur Umaira Hasim (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).
Turut menganggotai exco ialah Datuk Mohd Asna Amin (Perindustrian, Teknologi, Inovasi dan Digital); Datuk Mohd Razi Mohd Ali (Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup); Suhaimizan Bizar (Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO); Mohd Fairuz Mohd Isa (Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan); serta Datuk Razali Abu Samah (Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan).
