Home / Sudut Abiqverse / ALlFF DANIEL, IBU DAN ADIK LAFAZ TAUBAT TERBUKA SUSULAN KONTROVERSI RITUAL AGAMA LAIN

ALlFF DANIEL, IBU DAN ADIK LAFAZ TAUBAT TERBUKA SUSULAN KONTROVERSI RITUAL AGAMA LAIN

SHAH ALAM – Aliff Daniel Adli, 21, yang sebelum ini menjadi perhatian selepas tular melakukan ritual agama lain, mengisytiharkan taubat secara terbuka menerusi Majlis Pengisytiharan Taubat (Istitabah) hari ini.

Turut menyertai pengisytiharan tersebut ialah ibu dan adiknya, Rohizayanti Ramli, 52, serta Nur Ranea Ezreen Adli, 19. Kedua-duanya diminta melafazkan taubat kerana didapati gagal menasihati Aliff Daniel.

Majlis anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu berlangsung di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Majlis berkenaan disaksikan Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir, Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Mohd Sabirin Mohd Sarbini serta beberapa pegawai kanan MAIS dan JAIS.

Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin berkata, pelaksanaan Istitabah bukan sekadar lafaz taubat di hadapan khalayak, sebaliknya menjadi permulaan kepada usaha memperbetulkan pegangan, memperkukuh kefahaman dan membina semula keyakinan berlandaskan ajaran Islam yang sahih.

Beliau turut menegaskan bahawa taubat perlu disertai penyesalan, meninggalkan kesalahan serta keazaman untuk tidak mengulanginya. Individu yang melalui proses itu juga digalakkan mendalami ilmu daripada sumber sahih, mendapatkan bimbingan alim ulama dan mengekalkan istiqamah selepas majlis berakhir.

Menurutnya, usaha memelihara akidah memerlukan kerjasama seluruh institusi agama, selain pendekatan yang merangkumi pendidikan, penerangan, bimbingan, nasihat dan pemulihan.

Terdahulu, Aliff Daniel diperintahkan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat menjalani pemulihan akidah selama tiga bulan di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman, Ulu Yam selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan pemujaan salah.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kuil di Batu Caves pada 24 Januari 2024, termasuk menjunjung alat keagamaan lain, melakukan ritual mencucuk anggota badan dan berlutut di hadapan patung dengan kedua-dua tangan dirapatkan di dada.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 4(1) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sumber/ Foto : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *