KUALA LUMPUR – Kasih seorang anak terhadap bapanya menjadi perhatian apabila seorang pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Siti Nurdiana Mohamad Bistawi, mengambil keputusan membawa bapanya yang menghidap kanser paru-paru tahap empat tinggal bersama di kampus.
Sebagai anak tunggal yang kehilangan ibu sejak 2009, Siti Nurdiana memilih untuk meneruskan pengajian sambil memikul tanggungjawab menjaga bapanya.
Menurut kenyataan UPNM pada 5 November lalu, pihak universiti menyediakan kemudahan penginapan untuk mereka tinggal bersama di kampus sejak 25 Oktober, selain membantu menguruskan perpindahan dari Alor Setar, Kedah.
UPNM turut menyelaraskan urusan akademik dan kebajikan pelajar itu supaya tanggungjawab menjaga bapanya tidak menjejaskan pengajian. Pusat Kesihatan UPNM juga membantu menguruskan rujukan perubatan serta rawatan susulan bapanya di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Kisah dua beranak itu mendapat perhatian Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad, yang menziarahi mereka pada 5 November lalu.
Lebih menyentuh hati, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan sumbangan bagi membantu meringankan beban Siti Nurdiana.
Sumber : Sinar Harian









