Home / Malaysia / Kanak-Kanak 12 Tahun Berpaut Pada Pintu Kereta Selepas Ditinggalkan, Bapa Ditahan Polis

Kanak-Kanak 12 Tahun Berpaut Pada Pintu Kereta Selepas Ditinggalkan, Bapa Ditahan Polis

SEREMBAN – Seorang lelaki warga China berusia 45 tahun ditahan polis selepas dipercayai meninggalkan anak lelakinya yang berusia 12 tahun di tepi jalan sehingga kanak-kanak itu bertindak mengejar kereta dan berpaut pada pintu belakang sebelum terjatuh berhampiran Plaza Tol Nilai.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, lelaki berkenaan ditahan di sebuah kediaman di Jalan Cheras, Kuala Lumpur kira-kira jam 12.15 tengah hari Selasa. Polis turut merampas sebuah Perodua Axia berwarna putih yang dipercayai digunakan ketika kejadian.

Menurut hasil siasatan awal, lelaki itu bersama keluarganya dalam perjalanan dari Cheras menuju ke Pantai Bagan Lalang, Selangor untuk beriadah pada Isnin, 9 November.

Bagaimanapun, berlaku pertengkaran antara mangsa yang merupakan anak sulungnya dengan adik lelaki tersebut sehingga menyebabkan suspek berang.

Suspek kemudian memberhentikan kereta di tepi jalan selepas melepasi Plaza Tol Nilai, sebelum mengarahkan anaknya turun dan memarahinya.

Lelaki itu kemudiannya meneruskan perjalanan dengan alasan mahu memberikan pengajaran kepada anaknya supaya tidak mengulangi perbuatan sama.

Lebih membimbangkan, kanak-kanak berkenaan dilihat berpaut pada pintu belakang kereta ketika kenderaan itu bergerak sebelum terjatuh di atas jalan raya.

Suspek mendakwa menyedari kejadian tersebut sebelum berpatah balik untuk mengambil anaknya dan membawanya ke sebuah klinik swasta di Bandar Baru Nilai bagi mendapatkan pemeriksaan serta rawatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *