Kor Ming mahu letak jawatan menteri tapi Anthony Loke ‘pujuk’
KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming dilaporkan turut menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai menteri susulan keputusan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menawarkan peletakan jawatan daripada Kabinet.
Perkara itu didakwa berlaku ketika mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada Sabtu yang membincangkan perkembangan berkaitan isu pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurut laporan akhbar berbahasa Cina, Oriental Daily yang dipetik Sinar Harian, beberapa pemimpin DAP termasuk Kor Ming dan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo pada ketika itu dikatakan mempertimbangkan untuk mengambil pendirian sama dengan Anthony.
Sumber yang menghadiri mesyuarat berkenaan mendakwa Kor Ming berpandangan bahawa sekiranya Anthony Loke meletakkan jawatan, pemimpin lain juga wajar mengambil tindakan yang sama.
Bagaimanapun, Anthony dilaporkan berjaya meyakinkan anggota CEC bahawa keputusan berkenaan perlu dibataskan kepada dirinya sebagai pemimpin tertinggi parti.
Menurut sumber itu, Anthony menjelaskan bahawa sekiranya beberapa menteri DAP turut berundur, ia boleh dilihat sebagai peletakan jawatan secara beramai-ramai dan berpotensi memberi kesan kepada kestabilan kerajaan.
Hasil perbincangan tersebut, anggota CEC akhirnya menerima pendirian Anthony supaya beliau menjadi satu-satunya pemimpin DAP yang menawarkan peletakan jawatan daripada Kabinet.
Anthony sebelum ini mengumumkan hasrat untuk melepaskan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan, manakala menteri dan timbalan menteri DAP yang lain akan terus berada dalam kerajaan.
Perkembangan itu kini menimbulkan perhatian terhadap kedudukan beberapa pemimpin DAP dalam Kabinet, khususnya selepas Anthony mengambil pendirian untuk menawarkan peletakan jawatan berhubung isu pengampunan bersyarat Najib.
