“Ada Sesuatu Yang Tidak Kena Dalam Kerajaan Perpaduan” – Khairy
SHAH ALAM – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendakwa hubungan antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini menunjukkan tanda-tanda kurang harmoni, susulan keputusan Barisan Nasional (BN) menjalinkan kerjasama dengan PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menurut beliau, keputusan itu memberi isyarat bahawa wujud perubahan dalam landskap kerjasama politik meskipun BN dan Pakatan Harapan (PH) masih bersama membentuk Kerajaan Persekutuan.
“Kalau kita berada dalam Kerajaan Perpaduan tetapi pada PRN Negeri Sembilan membuat keputusan untuk bekerjasama dengan pihak lain, itu menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Subang di Bangunan UMNO Selangor, malam tadi.
Khairy berkata, dalam kalangan ahli UMNO sendiri wujud pandangan bahawa kerajaan ketika ini kurang memberi perhatian terhadap isu-isu berkaitan masyarakat Melayu, selain mendakwa beberapa janji yang pernah dibuat masih belum ditunaikan.
Pada masa sama, beliau mendakwa PH sering mengaitkan kehadiran UMNO dalam kerajaan sebagai alasan kegagalan melaksanakan agenda reformasi dan manifesto yang dijanjikan.
“Mereka kata tidak boleh tunaikan janji dan tidak boleh laksanakan reformasi kerana UMNO berada dalam kerajaan.
“Seolah-olah UMNO dipersalahkan atas kegagalan mereka sendiri melaksanakan reformasi dan memenuhi janji pilihan raya,” katanya.
Bagaimanapun, Khairy menegaskan BN tidak perlu meninggalkan Kerajaan Perpaduan atau mendesak Pilihan Raya Umum diadakan lebih awal.
“Kita boleh tunggu sehingga Pilihan Raya Umum. Apa yang berlaku sekarang adalah peluang untuk menghantar mesej kepada PH supaya tidak mengambil mudah UMNO dan BN,” katanya.
Mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi amaran supaya mana-mana menteri, timbalan menteri atau pemegang jawatan dalam agensi kerajaan yang menyerang rakan dalam Kerajaan Perpaduan ketika berkempen pada PRN melepaskan jawatan, Khairy berkata perkara itu berada di bawah bidang kuasa Perdana Menteri.
Menurutnya, seseorang menteri memegang jawatan selagi mendapat kepercayaan Perdana Menteri dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Kalau Perdana Menteri merasakan seseorang menteri tidak lagi menyokong beliau atau kerajaan, maka beliau mempunyai hak untuk menamatkan pelantikan menteri berkenaan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas sama ada terdapat menteri atau timbalan menteri daripada BN yang tidak lagi sehaluan dengan kepimpinan kerajaan.
“Saya tidak tahu kerana saya bukan menteri. Jika mahu mengetahui pendirian mereka, tanyalah kepada mereka sendiri,” katanya.
