ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Hari Bekerja Hibrid Bermula Hari Ini, Penjawat Awam Layak BDR Dua Hari Seminggu

PUTRAJAYA, 1 Ogos – Dasar Hari Bekerja Hibrid atau HBH bagi perkhidmatan awam mula berkuat kuasa hari ini, membolehkan pegawai yang layak bekerja tiga hari di pejabat dan dua hari dari rumah atau lokasi lain yang diluluskan.

Dasar berkenaan diperkenalkan sebagai norma kerja baharu dalam perkhidmatan awam, menggantikan aturan tradisional yang memerlukan pegawai hadir secara fizikal ke pejabat lima hari seminggu.

Bagaimanapun, pelaksanaan itu bukan bermakna semua penjawat awam secara automatik boleh bekerja dari rumah.

Menurut garis panduan Jabatan Perkhidmatan Awam, kemudahan tersebut hanya melibatkan pegawai yang bekerja mengikut Waktu Bekerja Pejabat dan mempunyai tugasan yang boleh dilaksanakan tanpa perlu berada sepenuhnya di pejabat.

Pegawai juga perlu mempunyai kemudahan teknologi yang sesuai, memperoleh markah prestasi sekurang-kurangnya 85 peratus atau mencapai KPI melebihi sasaran serta bebas daripada prosiding tatatertib.

Pegawai yang terlibat sepenuhnya dalam perkhidmatan bersemuka pula tidak layak menikmati aturan itu.

Antara yang dikecualikan ialah anggota sektor keselamatan, pertahanan dan penguatkuasaan yang bertugas di lapangan, guru yang terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah serta petugas kesihatan di hospital dan klinik.

Pegawai mahkamah yang tugasnya memerlukan kehadiran fizikal dan perkhidmatan bersemuka dengan pelanggan turut dikecualikan.

Hari BDR ditentukan ketua jabatan

Pegawai tidak boleh memilih sendiri hari untuk bekerja dari rumah. Jadual akan disusun oleh Ketua Jabatan berdasarkan keperluan operasi dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Bagi negeri yang bercuti pada Sabtu dan Ahad, Isnin dan Jumaat ditetapkan sebagai hari wajib berada di pejabat. Ketua Jabatan akan memilih satu lagi hari antara Selasa, Rabu atau Khamis untuk kehadiran fizikal, manakala dua hari selebihnya menjadi hari BDR.

Bagi Kedah, Kelantan dan Terengganu, hari wajib hadir ke pejabat ialah Ahad dan Khamis. Satu lagi hari akan dipilih antara Isnin, Selasa atau Rabu.

Hari BDR juga boleh ditetapkan secara berturut-turut. Namun, Ketua Jabatan berhak mengubah jadual pada saat akhir atau mengarahkan seseorang pegawai hadir ke pejabat apabila diperlukan.

Sekiranya hari BDR dibatalkan kerana pegawai diarahkan hadir ke pejabat, jabatan tidak diwajibkan menggantikan hari tersebut.

Bukan cuti tambahan

Walaupun bekerja dari rumah, pegawai masih perlu mematuhi tempoh bekerja sembilan jam sehari termasuk waktu rehat.

Kehadiran masuk dan pulang semasa BDR akan direkodkan menerusi sistem SPOT-Me. Sasaran tugasan perlu ditetapkan lebih awal dan pencapaian kerja akan dipantau oleh Ketua Jabatan.

Pegawai juga mesti berada di lokasi yang diluluskan, boleh dihubungi sepanjang waktu bekerja dan bersedia hadir ke pejabat dalam tempoh munasabah apabila diarahkan.

Kelayakan HBH boleh ditarik balik sekiranya pegawai gagal menyiapkan tugasan, mempunyai masalah kehadiran atau sukar dihubungi tanpa alasan munasabah.

Kerajaan tidak akan menanggung kos elektrik, internet, telefon atau pembaikan peralatan yang digunakan ketika BDR. Elaun lebih masa juga secara umumnya tidak dibayar bagi tugasan yang dilaksanakan dari rumah.

Dasar ini wajib dilaksanakan di agensi Kerajaan Persekutuan. Pelaksanaannya di perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan pula tertakluk kepada penerimaan pihak berkuasa masing-masing.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *