PUTRAJAYA – Nasib blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo, yang dijatuhi hukuman penjara 30 hari kerana menghina mahkamah, masih belum diputuskan apabila Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusan rayuannya.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Azizul Azmi Adnan menetapkan 29 Oktober ini sebagai tarikh pengurusan kes bagi menentukan tarikh keputusan rayuan.
Dalam prosiding pada Jumaat, peguam Papagomo berhujah anak guamnya sudah mematuhi arahan mahkamah dengan membuat permohonan maaf tanpa syarat kepada bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, serta memadam hantaran terdahulu. Pihak pembelaan turut memohon supaya hukuman penjara digantikan dengan denda.
Bagaimanapun, peguam Razarudin meminta mahkamah mengekalkan hukuman tersebut. Beliau berhujah permohonan maaf berkenaan tidak dibuat dengan ikhlas dan mempersoalkan pematuhan arahan mahkamah di platform media sosial.
Pada Ogos 2025, Mahkamah Tinggi menjatuhkan dua hukuman penjara selama 15 hari setiap satu terhadap Papagomo kerana melanggar perintah injunksi dalam kes saman fitnah Razarudin. Kedua-dua hukuman diperintahkan berjalan secara berturut-turut, menjadikan jumlah keseluruhan 30 hari. Beliau turut diarahkan membayar kos RM30,000.
Bagaimanapun, pelaksanaan hukuman penjara itu ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan. Mahkamah Rayuan kini akan menentukan tarikh keputusan selepas pengurusan kes pada 29 Oktober.
Sumber/ Foto : BERNAMA









