KUALA LUMPUR – Berdepan ujian kesihatan bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi apabila pesakit perlu menghabiskan masa yang panjang di hospital. Dalam keadaan itu, keperluan untuk beribadah dengan selesa juga menjadi antara perkara penting yang tidak seharusnya dipandang ringan.
Menyedari keperluan tersebut, Unit Wakaf MARA MADANI tampil menerusi inisiatif Wakaf Prihatin: Sentuhan Kasih dengan menyalurkan sumbangan bernilai RM50,000 kepada Hospital Tunku Azizah (HTA), Kuala Lumpur bagi menyokong pelaksanaan inisiatif Hospital Mesra Ibadah (HMI).
Sumbangan itu merangkumi pelbagai kelengkapan ibadah dan keperluan pesakit, antaranya 24 troli ibadah, 60 sejadah, 60 telekung, 100 set debu tayamum, 30 unit kain pelekat dan kerusi lipat.
Turut disediakan ialah 1,000 helai seluar bersalin, 50 naskhah al-Quran, 100 naskhah Yasin serta 73 penunjuk arah kiblat.
Kemudahan ini diharap dapat membantu pesakit dan penjaga, khususnya mereka yang mempunyai keterbatasan pergerakan atau keadaan kesihatan yang menyukarkan pelaksanaan ibadah seperti biasa.
Malah, penyediaan seluar bersalin turut mengambil kira keperluan pesakit wanita, manakala kelengkapan ibadah yang disediakan membantu mewujudkan suasana rawatan yang lebih mesra dengan keperluan rohani dan emosi pesakit.
Kerjasama itu turut mendapat sokongan pihak pengurusan HTA yang diwakili Pengarahnya, Dr. Shamsul Anuar Kamarudin. Program berkenaan turut diserikan dengan Bicara Wakaf dan Tausiah oleh Sahibus Samahah Tuan Ahmad Fauwaz bin Ali @ Fadzil, Mufti Wilayah Persekutuan.
Pengarah Kanan Pelaburan MARA, Puan Lailatul Asmah Mohd Tahir pula menegaskan bahawa wakaf bukan sekadar sumbangan kebajikan, sebaliknya merupakan instrumen pembangunan sosial yang mampu memberikan manfaat secara berterusan mengikut keperluan masyarakat.
Sebagai mutawalli atau pentadbir wakaf yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, MARA bertanggungjawab memastikan dana wakaf diuruskan secara telus, dipelihara dengan baik dan disalurkan kepada golongan yang memerlukan.
Inisiatif Sentuhan Kasih ini membuktikan bahawa manfaat wakaf boleh dirasai dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuk ketika seseorang berdepan ujian kesihatan.
Kerana dalam usaha memberikan rawatan kepada pesakit, ketenangan jiwa dan kemudahan untuk menunaikan ibadah juga merupakan sebahagian daripada keperluan yang wajar diberi perhatian.









