Home / Malaysia / Bukan Sekadar Perayaan, Filem Pendek Deepavali KPN Angkat Kisah Kasih Sayang Tanpa Sempadan

Bukan Sekadar Perayaan, Filem Pendek Deepavali KPN Angkat Kisah Kasih Sayang Tanpa Sempadan

PUTRAJAYA – Kadangkala, insan yang paling mengambil berat tentang kehidupan kita bukanlah ahli keluarga sendiri, tetapi seseorang yang hadir dalam kehidupan seharian tanpa pernah mengharapkan balasan.

Itulah mesej yang cuba disampaikan menerusi filem pendek khas sempena Deepavali 2026 terbitan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) berjudul “Cahaya Yang Menyatukan Kita”, yang bakal menemui penonton mulai 4 November ini.

Mengangkat kisah seorang wanita India dikenali sebagai Aunty Rajeswary, filem pendek ini membawa penonton menyelami kehidupan seorang petugas pembersihan di sebuah kondominium yang sentiasa mengambil berat tentang penghuni di sekelilingnya.

Di sebalik sikap mesra dan senyumannya, Aunty Rajeswary sebenarnya menyimpan kisah kehidupan yang dipenuhi kerinduan dan kesunyian.

Namun, kehadiran empat anak muda iaitu Danish, Kyle, Arif dan Hakim sedikit sebanyak menceriakan kehidupannya. Hubungan mereka yang pada awalnya dipenuhi usikan spontan dan gelagat lucu akhirnya membuka ruang kepada sebuah kisah yang lebih bermakna.

Menerusi interaksi mereka, penonton bukan sahaja bakal disajikan dengan babak mencuit hati, malah turut dibawa menghayati erti keprihatinan, kasih sayang dan kehilangan.

Menariknya, filem ini mengetengahkan bagaimana hubungan antara individu berbeza kaum mampu berkembang menjadi sebuah ikatan kekeluargaan tanpa perlu mempunyai pertalian darah.

Dalam masa sama, keindahan sambutan Deepavali turut ditampilkan menerusi hiasan kolam, pelita, toranai, juadah tradisional dan suasana perayaan yang berwarna-warni.

Lebih daripada sekadar hiburan, karya ini membawa mesej bahawa perpaduan tidak semestinya bermula dengan perkara besar. Kadangkala, ia hadir melalui tindakan sederhana seperti bertanya khabar, berkongsi makanan, membantu jiran dan memastikan tiada sesiapa berasa terpinggir.

Filem pendek cetusan idea Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang itu turut membawa aspirasi kementerian untuk menyemai nilai Faham, Hormat, Terima dan Meraikan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Keratan Poster Filem Pendek “Cahaya Yang Menyatukan Kita”

Orang ramai berpeluang menyaksikan filem pendek “Cahaya Yang Menyatukan Kita” menerusi BERNAMA bermula 4 hingga 11 November 2026, manakala RTM dan TVS akan menayangkannya dari 5 hingga 10 November 2026.

Filem ini juga boleh ditonton menerusi platform media sosial rasmi Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang di Instagram (@aaronagodagang) dan Facebook.

Jangan lepaskan peluang menyaksikan kisah yang bukan sahaja mencetuskan senyuman dan tawa, tetapi turut mengingatkan kita bahawa keluarga tidak semestinya terbina melalui pertalian darah.

Kerana pada akhirnya, cahaya paling bermakna bukan sekadar yang menerangi rumah ketika Deepavali, tetapi kasih sayang yang mampu menerangi kehidupan orang lain.

Selamat Hari Deepavali 2026.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *