ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Politik

Onn Hafiz Angkat Sumpah Menteri Besar Johor Bagi Penggal Kedua

JOHOR BAHRU – Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Johor bagi penggal kedua selepas Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu mengangkat sumpah di hadapan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dalam Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan di Istana Bukit Serene.

Turut berangkat dan hadir pada majlis berkenaan ialah Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr Abdul Rahim Ramli serta Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir.

Pada PRN Johor yang berlangsung semalam, BN mencatat kemenangan besar apabila memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus memperoleh mandat kukuh untuk membentuk kerajaan negeri. Pakatan Harapan (PH) pula memenangi lapan kerusi.

Onn Hafiz tiba di Istana Bukit Serene kira-kira jam 3.40 petang sebelum Tunku Mahkota Ismail berangkat pada jam 4.25 petang bagi menyempurnakan istiadat berkenaan.

Kenderaan rasmi yang membawa Onn Hafiz dilihat meninggalkan istana sekitar jam 4.50 petang, dengan beliau sempat melambaikan tangan kepada pengamal media yang membuat liputan.

Ini merupakan pelantikan kali kedua Onn Hafiz sebagai Menteri Besar Johor selepas pertama kali mengangkat sumpah pada 15 Mac 2022 susulan kemenangan BN pada PRN Johor 2022.

Beliau ketika itu dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-19 menggantikan Datuk Seri Hasni Mohammad dan mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang kini merupakan Yang di-Pertuan Agong.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *