Syed Saddiq Bebas Tuduhan Rasuah, Pengubahan Wang Haram
PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dilepas dan dibebaskan sepenuhnya daripada sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan pihak pendakwaan hari ini.
Keputusan itu dibuat menerusi penghakiman majoriti 2-1 oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan.
Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan Mahkamah Rayuan tidak melakukan sebarang kesilapan apabila membenarkan rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan itu pada Jun tahun lalu.
Mereka turut berpendapat tiada kesilapan dari sudut undang-undang atau prosedur yang membolehkan keputusan Mahkamah Rayuan diketepikan.
Sabitan dan hukuman berkenaan sebelum ini membabitkan dua pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalahgunakan harta serta dua pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU.
Sebaik sahaja Hakim Sequerah membacakan penghakiman yang memuktamadkan keputusan majoriti memihak kepada Syed Saddiq, suasana di dalam mahkamah bertukar emosional apabila hampir semua yang hadir memberikan tepukan sebagai tanda penghargaan terhadap keputusan tersebut.
Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais yang mengetuai panel tiga hakim bagaimanapun menyatakan pendirian berbeza dalam penghakimannya.
Ketiga-tiga hakim membacakan penghakiman bertulis masing-masing secara berasingan, dimulakan oleh Abu Bakar, diikuti Che Mohd Ruzima dan kemudian Sequerah.
Selepas keputusan diumumkan, Abu Bakar memanggil Syed Saddiq ke hadapan panel hakim dan menjelaskan bahawa keputusan beliau yang sebelum ini mensabitkan responden bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat tidak lagi berkuat kuasa susulan keputusan majoriti dua hakim lain yang membebaskannya.
Beliau berkata, perbezaan pandangan dalam kalangan hakim merupakan sebahagian daripada proses sistem keadilan dan menegaskan setiap hakim berhak membuat keputusan berdasarkan penilaian masing-masing.
“Kami juga manusia biasa. Ada ketika kami sihat dan ada ketika tidak sihat. Jika seorang hakim tidak sihat, penangguhan prosiding boleh berlaku dan ia bukan sesuatu yang luar biasa.
“Saya berharap semua pihak memahami keadaan itu,” katanya.
Abu Bakar turut memaklumkan bahawa panel hakim mengikuti perkembangan kes berkenaan dan mengetahui Syed Saddiq mempunyai perancangan peribadi selepas keputusan mahkamah.
“Selepas keputusan majoriti memihak kepada responden, saya berharap beliau dapat meneruskan perancangannya, termasuk perkahwinan, dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Selesai prosiding, suasana di galeri awam bertukar sebak apabila ahli keluarga Syed Saddiq dilihat saling berpelukan, manakala beliau turut bersalaman dengan barisan peguam yang mewakilinya.
