Bila Kata Kesat Menjadi Bahasa Harian Kanak-Kanak
Semakin merisaukan apabila kata-kata kesat dan hinaan begitu mudah meniti di bibir kanak-kanak berumur tujuh atau lapan tahun.
Lebih menyedihkan, ada ibu bapa yang memandang enteng perbuatan tersebut, seolah-olah mencarut dan merendahkan orang lain hanyalah lumrah dalam dunia mereka.
Bagi mangsa, gelaran seperti “b*b*” dan “b*d*h” bukan sekadar gurauan. Ia mampu meruntuhkan keyakinan, menggugat emosi serta membuatkan mereka takut untuk berkawan atau berada dalam kelompok rakan sebaya.
Buli tidak hanya berlaku apabila seseorang ditumbuk, ditendang atau dicederakan secara fizikal. Ada luka yang tidak berdarah, tetapi pedihnya menetap lama di dalam jiwa. Kadangkala, lidah yang tidak dijaga lebih tajam daripada mata pisau.
Orang dahulu sangat menitikberatkan budi bahasa. Anak-anak dibesarkan dengan pesan, “yang tua dihormati, yang muda disayangi” serta diingatkan bahawa “kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.” Mereka memahami bahawa tutur kata mencerminkan didikan dan peribadi seseorang.
Bukan bermakna cara mendidik zaman dahulu semuanya sempurna. Namun, rasa malu apabila berkata kasar, hormat kepada orang lain dan menjaga nama baik keluarga pernah dianggap perkara besar. Hari ini, nilai itu jangan dibiarkan hilang hanya kerana penghinaan dianggap gurauan biasa.
Anak-anak belajar melalui apa yang didengar, dilihat dan dibiarkan berlaku di sekeliling mereka. Apabila mereka mencarut, tegurlah. Jangan ketawa, berpura-pura tidak mendengar atau terlalu cepat mempertahankan hanya kerana itu darah daging sendiri.
Kalau kita tidak suka anak kita disakiti, jangan biarkan mereka pula menyakiti hati orang lain.
Mendidik bukan sekadar memastikan mereka pandai membaca, memperoleh keputusan cemerlang atau menjadi nombor satu di sekolah. Adab, empati, rasa hormat dan santun bicara turut membentuk siapa mereka apabila dewasa nanti.
Orang tua-tua juga sering berpesan, “melentur buluh biarlah dari rebungnya.” Sikap yang dibiarkan sejak kecil akan menjadi kebiasaan apabila dewasa.
Jangan tunggu sehingga ada yang hilang keyakinan, takut ke sekolah atau menangis dalam diam akibat ucapan yang dilontarkan oleh rakan sendiri.
Apabila terdengar penghinaan, betulkan. Jika terlihat perbuatan membuli, hentikan. Jangan menjadi benteng kepada kesalahan hanya kerana pelakunya anak kita.
Hari ini kita berdiam diri ketika mereka merendahkan orang lain. Esok, jangan terkejut apabila mereka membesar tanpa tahu menghormati sesiapa.
Mungkin suatu hari nanti mereka berpangkat, berkot dan berdasi. Namun, apakah ertinya kelihatan terhormat jika lidah masih gemar melukai dan hati tidak mengenal budi?
Ilmu boleh mengangkat seseorang ke tempat yang tinggi, tetapi adablah yang menentukan sama ada dia layak dihormati.
Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.
Berhenti menormalisasikan penghinaan hanya kerana pelakunya masih kecil.
Buli tetap buli, walaupun dilakukan melalui kata-kata.
Didiklah mereka hari ini, sebelum dunia mengajar dengan cara yang jauh lebih keras.
