Home / Malaysia / Kampung Merapoh Menang RM100,000, Cipta Sejarah Sebagai Penerima Sulung Anugerah Kampung Tradisi Pahang

Kampung Merapoh Menang RM100,000, Cipta Sejarah Sebagai Penerima Sulung Anugerah Kampung Tradisi Pahang

LIPIS – Kampung Merapoh mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai penerima sulung Anugerah Kampung Tradisi Pahang 1st, sebuah inisiatif kerajaan negeri untuk menghargai kampung yang berjaya menyediakan persekitaran kehidupan yang baik kepada penduduk.

Pengiktirafan itu disampaikan sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) peringkat negeri Pahang pada Khamis. Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, anugerah tersebut bertujuan menggalakkan masyarakat kampung terus maju, berusaha dan membangunkan komuniti masing-masing.

Kemenangan itu membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000, trofi iringan serta sijil. Sebanyak 60 daripada 1,933 kampung tradisi di seluruh Pahang menyertai edisi sulung anugerah berkenaan.

Tempat kedua dimenangi Kampung Bolok Hilir di Temerloh dengan hadiah RM50,000, manakala Kampung Bukit Kelulut, juga di Temerloh, menduduki tempat ketiga dan menerima RM25,000.

Kerajaan negeri memperuntukkan RM200,000 bagi hadiah pertandingan sulung itu. Susulan sambutan yang menggalakkan, peruntukan untuk tahun hadapan akan dinaikkan kepada RM300,000.

Menurut Wan Rosdy, usaha ini bukan sekadar memberi pengiktirafan, malah menggalakkan penduduk berganding bahu menjaga kebersihan, mencantikkan persekitaran, mengukuhkan hubungan kejiranan dan meningkatkan kesejahteraan komuniti.

Sumber/ Foto : Sinar Harian

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *