NFCC jelas keanggotaan Azam Baki dalam Lembaga Penasihat sah hingga 2027
KUALA LUMPUR, 3 Julai – Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) menjelaskan Tan Sri Azam Baki merupakan anggota sah Lembaga Penasihat NFCC bagi tempoh tiga tahun bermula 20 September 2024 hingga 19 September 2027.
Dalam satu kenyataan media hari ini, NFCC memaklumkan pelantikan Azam dibuat atas kapasiti individu dengan perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Menurut kenyataan itu, keanggotaan beliau tidak terikat kepada jawatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sebaliknya kekal berkuat kuasa sehingga tamat tempoh pelantikan atau ditamatkan lebih awal oleh Yang di-Pertuan Agong.
Sehubungan itu, NFCC menegaskan kehadiran Azam dalam Mesyuarat Lembaga Penasihat NFCC pada 30 Jun lalu adalah selaras dengan peruntukan Akta 822 kerana beliau merupakan anggota sah lembaga berkenaan.
Kenyataan tersebut dikeluarkan bagi menjelaskan status keanggotaan Azam Baki susulan timbul persoalan berhubung penyertaannya dalam mesyuarat Lembaga Penasihat NFCC baru-baru ini.
