KJ Harap UMNO Jujur Akui Kelemahan Tadbir Urus Tabung Haji
KUALA LUMPUR – UMNO perlu mengakui kelemahan dalam tadbir urus Lembaga Tabung Haji (TH) ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) antara 2014 hingga 2017, seperti yang didedahkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang dinyahklasifikasikan baru-baru ini.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, pengakuan itu penting sekiranya parti berkenaan mahu dilihat benar-benar komited melaksanakan reformasi dan memulihkan keyakinan rakyat.
Beliau berkata, walaupun memahami kenyataan beberapa pemimpin UMNO yang menafikan berlakunya penyelewengan atau rasuah dalam pengurusan TH, khususnya ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16, pendekatan itu tidak memadai untuk jangka panjang.
“Saya tidak mengharapkan mereka mengambil pandangan saya ketika kempen pilihan raya. Mungkin ketika itu mereka perlu mempertahankan pendirian bahawa tiada penyelewengan, hibah lebih tinggi diberikan dan subsidi haji untuk jemaah muassasah dikekalkan.
“Bagaimanapun, saya berharap menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU), sudah tiba masanya parti bersikap jujur dan mengakui memang terdapat kegagalan dari sudut tadbir urus.
“Kalau UMNO mengambil pendirian itu, sekurang-kurangnya orang akan melihat ada usaha ke arah perubahan dan pemulihan kerana parti berani mengakui kelemahan.
“Ketika kempen pilihan raya mungkin sukar untuk menyatakan perkara itu, tetapi sekurang-kurangnya di PAU nanti perlu ada suara yang mengatakan kelemahan, kegagalan dan kesilapan itu tidak boleh disembunyikan. Apa yang salah perlu diakui,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengendalikan podcast Keluar Sekejap yang disiarkan malam tadi.
Laporan RCI mengenai TH yang dinyahklasifikasikan minggu lalu mendedahkan kedudukan kewangan institusi itu berada dalam keadaan kritikal pada 2017 apabila kerugian terkumpul meningkat kepada RM10 bilion sehingga memerlukan pelaksanaan pelan pemulihan segera oleh kerajaan.
Sementara itu, bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan yang turut mengendalikan podcast berkenaan berkata, parti itu perlu mengambil peluang untuk menunjukkan kematangan politik dengan menginsafi kelemahan serta memperbaiki diri.
Menurut beliau, UMNO tidak boleh menganggap peningkatan sokongan terhadap parti itu sebagai alasan untuk mengelakkan proses reformasi dalaman.
“UMNO tidak boleh melihat gelombang sokongan yang ada sekarang sebagai bukti bahawa parti tidak lagi perlu melakukan reformasi, meminta maaf atau memperbaiki kelemahan.
“Isu ini bukan sekadar retorik mengenai penyatuan Melayu semata-mata, sebaliknya berkait dengan kelestarian momentum politik parti pada masa depan,” katanya.
