ASUNCION – Bekas Presiden Paraguay, Santiago Peña, dikenakan tahanan rumah selepas disingkirkan daripada jawatan menerusi proses pemecatan oleh Senat negara itu pada Jumaat.
Kesemua 44 senator yang hadir mengundi menyokong pemecatan Peña atas dakwaan salah laku ketika memegang jawatan. Perkembangan itu berlaku susulan krisis kewangan melibatkan Ueno Bank, yang diambil alih pihak pengawal selia tiga hari sebelumnya.
Kejadian itu menyebabkan hampir tiga juta pelanggan terjejas apabila mereka tidak dapat mengakses simpanan serta menggunakan kad bank masing-masing.
Peña kini diarahkan kekal di kediamannya sementara menunggu untuk hadir di hadapan unit jenayah ekonomi dan antirasuah pihak pendakwaan. Beliau disiasat atas dakwaan pecah amanah, namun menafikan sebarang salah laku.
Sementara itu, Naib Presiden, Pedro Alliana, mengangkat sumpah sebagai Presiden baharu Paraguay bagi meneruskan penggal pentadbiran sehingga Ogos 2028.
Alliana turut berjanji bahawa pelanggan yang terjejas akibat krisis kewangan itu akan menerima pampasan sepenuhnya









