Home / Malaysia / PENIAGA KENAKAN CAJ TERSEMBUNYI BOLEH DIDENDA RM100,000, INDIVIDU BERDEPAN PENJARA

PENIAGA KENAKAN CAJ TERSEMBUNYI BOLEH DIDENDA RM100,000, INDIVIDU BERDEPAN PENJARA

KUALA LUMPUR – Peniaga yang mengenakan caj tersembunyi atau hanya memaklumkan bayaran tambahan pada peringkat akhir transaksi boleh dikenakan tindakan undang-undang, termasuk denda sehingga RM100,000.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, amalan itu mengelirukan pengguna kerana mereka berhak mengetahui jumlah sebenar yang perlu dibayar sebelum membuat keputusan pembelian.

Menurut beliau, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 10B(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723), yang mewajibkan semua cukai, duti dan caj lain dimasukkan dalam harga barangan atau perkhidmatan yang dipaparkan atau diiklankan.

Di bawah Seksyen 57 akta sama, pertubuhan perbadanan yang melakukan kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000. Individu pula boleh didenda sehingga RM50,000, dipenjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut boleh mengambil tindakan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599), yang melarang gambaran mengelirukan berkaitan harga barangan dan perkhidmatan.

Bagi kesalahan di bawah akta itu, pertubuhan perbadanan boleh didenda sehingga RM100,000, manakala individu berdepan denda sehingga RM50,000, penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Armizan berkata, Dasar Harga Terangkum turut dilaksanakan bagi memastikan pengguna mengetahui jumlah keseluruhan bayaran, termasuk harga asas, caj perkhidmatan dan caj penghantaran sebelum mengesahkan tempahan.

Beliau turut menggesa pengguna menyemak harga akhir sebelum membuat pembayaran serta menyalurkan aduan kepada KPDN sekiranya terdapat caj tersembunyi atau perbezaan antara harga yang diiklankan dengan jumlah sebenar yang dikenakan.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *