Home / Malaysia / KBS SEKAT KELULUSAN HYROX KUALA LUMPUR SELAGI TAJAAN ALKOHOL TIDAK DITARIK BALIK

KBS SEKAT KELULUSAN HYROX KUALA LUMPUR SELAGI TAJAAN ALKOHOL TIDAK DITARIK BALIK

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan meluluskan penganjuran HYROX Kuala Lumpur 2026 selagi tajaan daripada syarikat minuman beralkohol tidak ditarik balik sepenuhnya.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, permohonan penganjuran acara yang dijadualkan berlangsung pada 10 hingga 13 Disember ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, masih dalam proses dan belum mendapat kelulusan kementerian.

KBS memandang serius penularan tangkap layar yang memaparkan sebuah syarikat minuman beralkohol sebagai rakan bir rasmi acara berkenaan.

Menurut beliau, pendirian itu selaras dengan Kod Sukan Selamat Edisi Ketiga 2024 yang melarang syarikat berkaitan tembakau, rokok elektronik dan minuman beralkohol daripada menaja, mempromosi atau mengiklankan aktiviti sukan yang diluluskan atau disokong KBS serta agensinya.

Kementerian turut menetapkan semua logo, cap dagangan dan bahan promosi berkaitan tajaan tersebut perlu dikeluarkan daripada saluran rasmi acara serta lokasi pertandingan sebelum kelulusan boleh dipertimbangkan.

Dalam pada itu, KBS mengingatkan bahawa Seksyen 36(1) Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) mewajibkan syarikat mendapatkan lesen daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia sebelum terbabit dalam aktiviti sukan.

Kegagalan mematuhi peruntukan itu boleh dikenakan denda antara RM50,000 hingga RM500,000, penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

KBS menegaskan ketetapan berkenaan terpakai kepada semua penganjur tanpa pengecualian bagi memastikan persekitaran sukan yang selamat dan sihat untuk semua peserta.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *