AMPANG – Seorang arkitek bergelar Datuk mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan mencabul kehormatan anak lelaki seorang pegawai kanan polis berusia 18 tahun.
Tertuduh berusia 61 tahun itu didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap mangsa dengan memegang beberapa bahagian tubuhnya dengan niat mencabul kehormatan.
Mengikut pertuduhan, kejadian didakwa berlaku di sebuah bilik sauna di gimnasium dalam pusat beli-belah di Ampang, kira-kira jam 7.10 malam pada 18 Oktober lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan memohon jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan, selain menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 November ini untuk sebutan semula kes.
Sumber : Berita Harian









