Chef Wan Luah Rasa Bangga Cucu Wakili Skuad Bola Sepak Negara
KUALA LUMPUR – Chef selebriti terkemuka negara Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan meluahkan rasa bangga apabila cucunya, Isabella Saffiya O’Luanaigh, disenaraikan dalam skuad bola sepak wanita bawah 17 tahun negara, Malayan Tigress B-17, bagi kempen Piala Srikandi Merdeka 2026 di Kudus, Indonesia.
Menerusi perkongsian di Threads, Chef Wan turut mengucapkan tahniah kepada Isabella dan skuad negara selepas mencatat kemenangan besar 9-0 ke atas Arab Saudi dalam aksi terakhir peringkat kumpulan di Super Soccer Arena, Kudus, semalam.
Chef Wan berkata beliau hanya mengetahui mengenai pencapaian itu selepas dimaklumkan oleh anaknya, Serina Redzuawan, yang juga ibu kepada Isabella.
“Saya baru tahu apabila Rina menghantar mesej kepada saya dan Qamal menghantar semua laporan media ini.
“Tahniah kepada Isabella dan pasukannya atas pencapaian mereka. Saya sangat bangga dengannya. Alhamdulillah,” katanya.
Isabella, 14, beraksi di posisi tengah dan memakai jersi nombor 11 bersama skuad negara.
Kemenangan besar ke atas Arab Saudi membolehkan Malaysia mengatasi Hong Kong menerusi kelebihan perbezaan jaringan selepas kedua-dua pasukan menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan empat mata.
Lebih membanggakan, skuad bimbingan Fairuz Montana Zainal Abidin itu beraksi dengan 10 pemain sejak minit ke-21 selepas Dishanna Nagarajan Pillay dilayangkan kad merah.
Keputusan itu membolehkan skuad muda negara mara ke separuh akhir sekali gus meneruskan cabaran dalam memburu kejayaan pada kejohanan berkenaan.
