Home / Malaysia / LEBIH 724,000 KANDUNGAN JUDI DALAM TALIAN DIPADAM, MCMC PERKETAT TINDAKAN

LEBIH 724,000 KANDUNGAN JUDI DALAM TALIAN DIPADAM, MCMC PERKETAT TINDAKAN

KUALA LUMPUR – Sebanyak 724,879 kandungan berkaitan perjudian dalam talian berjaya diturunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), manakala 2,603 laman sesawang turut disekat bagi tempoh 1 Januari 2025 hingga 31 Oktober 2026.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, jumlah kandungan yang diturunkan itu mewakili 98 peratus daripada keseluruhan 738,372 permohonan penurunan kandungan yang dikemukakan dalam tempoh berkenaan.

Menurutnya, tindakan itu dilaksanakan menerusi kerjasama MCMC dengan penyedia perkhidmatan serta agensi penguatkuasaan berkaitan.

Beliau menjelaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merupakan agensi utama yang bertanggungjawab menguatkuasakan Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, manakala MCMC membantu mengawal penyalahgunaan platform dan rangkaian komunikasi di bawah undang-undang berkaitan.

Bagi tempoh Januari hingga Julai 2026 sahaja, sebanyak 253,424 kandungan berunsur perjudian berjaya diturunkan, manakala 573 laman sesawang disekat.

MCMC turut membantu PDRM melalui perkongsian maklumat, siasatan dan analisis forensik digital bagi mengenal pasti kandungan serta laman sesawang yang digunakan untuk aktiviti perjudian dalam talian.

Dalam usaha membanteras kegiatan itu, MCMC turut menyertai operasi bersepadu seperti Op JOL dan Op Soga XI yang diterajui PDRM, termasuk tindakan terhadap aktiviti perjudian dan pertaruhan dalam talian berkaitan Piala Dunia FIFA 2026.

Selain itu, kerjasama dengan Bank Negara Malaysia, institusi perbankan dan agensi penguatkuasaan sedang diteliti bagi memperketat tindakan terhadap akaun bank serta transaksi kewangan yang dikaitkan dengan sindiket perjudian.

MCMC juga bekerjasama dengan PDRM dan penyedia perkhidmatan menerusi Op Pancing serta Op Delusi bagi membanteras penyalahgunaan peralatan Fake Base Transceiver Station (Fake BTS) yang digunakan untuk menyebarkan SMS secara besar-besaran, termasuk pautan kepada aktiviti menyalahi undang-undang.

Teo menjelaskan, tindakan tangkapan dan rampasan aset hasil perjudian merupakan bidang kuasa PDRM, manakala MCMC memberikan kerjasama dalam operasi penguatkuasaan yang diketuai pihak polis.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *