KUALA LUMPUR – Sebuah kapal tangki, MT Global 168 yang dimiliki syarikat berpangkalan di Johor Bahru, dipercayai menerima bekalan 1.16 tan dadah jenis ketamin daripada sebuah kapal induk asing ketika berada di Laut Andaman.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, maklumat daripada Polis Republik Indonesia (Polri) menunjukkan dadah itu dipercayai dipindahkan melalui aktiviti pemindahan muatan antara kapal (ship-to-ship transfer) di tengah laut.
Kapal berkenaan ditahan pihak berkuasa Indonesia di perairan Tanjung Balai Asahan pada 20 Oktober lalu. Pemeriksaan menemukan 1,160 bungkusan ketamin yang disimpan dalam 58 guni, dengan berat keseluruhan 1.16 tan dan nilai dianggarkan hampir RM60 juta.
Siasatan awal mendapati kapal sepanjang 57 meter itu dipercayai memulakan perjalanan dari Pasir Gudang, Johor, sebelum singgah di Pelabuhan Klang untuk mengisi bahan api dan meneruskan perjalanan ke Laut Andaman.
Pergerakan kapal dikesan mencurigakan antara 14 hingga 18 Oktober. Sistem Pengenalan Automatik (AIS) kapal itu juga dipercayai dimatikan selama tiga hari, sekali gus menyukarkan pemantauan pergerakannya.
Seramai lapan kru ditahan, terdiri daripada tujuh warga Indonesia berusia 25 hingga 71 tahun dan seorang warga China berusia 42 tahun.
Kapal itu menggunakan bendera Mongolia walaupun dimiliki syarikat berdaftar di Malaysia. Menurut JSJN, dua pengarah syarikat berkenaan merupakan warga tempatan dan semakan mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Pihak polis Malaysia kini bekerjasama dengan Polri untuk meneliti pemilikan kapal, pergerakannya serta kemungkinan penglibatan rakyat tempatan atau sindiket pengedaran dadah rentas negara. Siasatan turut dijalankan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab dalam pemindahan dadah berkenaan.
Sumber : Bernama
Foto : NSTP









