Home / Malaysia / Warga China Terima Kokain di Pulau Pinang, Ditahan di Hong Kong Dengan 2kg Dadah

Warga China Terima Kokain di Pulau Pinang, Ditahan di Hong Kong Dengan 2kg Dadah

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga China berusia 25 tahun ditahan pihak berkuasa Hong Kong selepas disyaki membawa dua kilogram kokain dalam bagasi daftar masuknya ketika tiba dari Pulau Pinang pada 22 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai memperoleh dadah itu daripada seorang individu tidak dikenali di sebuah pasar raya di Pulau Pinang.

Suspek dipercayai berada di Malaysia selama tiga hari dan dijanjikan ganjaran sebanyak 2,000 yuan China (kira-kira RM1,200) bagi urusan berkaitan dadah berkenaan.

Lelaki itu tiba di Hong Kong menerusi penerbangan Cathay Pacific CX622 sebelum pemeriksaan kastam menemukan bahan disyaki kokain dalam bagasinya.

Semakan mendapati pasport suspek baru dikeluarkan pada Oktober ini tanpa rekod perjalanan lain. Dia juga mempunyai beberapa tempahan hotel walaupun dipercayai hanya berada di Malaysia dalam tempoh singkat.

Suspek telah didakwa atas kesalahan mengedar dadah berbahaya dan dijadualkan hadir di Mahkamah Majistret Kowloon Barat. Jika disabitkan kesalahan, dia berdepan hukuman maksimum penjara seumur hidup dan denda HK$5 juta.

JSJN akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa Hong Kong untuk mendapatkan maklumat lanjut, termasuk kemungkinan penglibatan anggota sindiket yang beroperasi di Malaysia.

Kes ini turut mendapat perhatian selepas seorang lagi lelaki warga China berusia 39 tahun ditahan di Hong Kong pada 25 Oktober, selepas 2.2 kilogram bahan disyaki kokain bernilai kira-kira HK$1.3 juta (RM700,000) ditemukan dalam bagasi kabinnya selepas tiba dari Pulau Pinang.

Sumber : Berita Harian

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *