Home / Malaysia / “Tak Perlu Ulas Masa Lalu Saya” – Peguam Dua Anggota Polis Beri Respons Terhadap Kecaman

“Tak Perlu Ulas Masa Lalu Saya” – Peguam Dua Anggota Polis Beri Respons Terhadap Kecaman

KUALA LUMPUR – Peguam, Datuk Kamal Hisham Ja’afar yang mewakili dua anggota polis yang mendakwa dikasari Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, menegaskan bahawa orang ramai tidak sepatutnya mengalihkan perhatian daripada isu utama kes berkenaan dengan membangkitkan latar belakang peribadinya.

Kamal Hisham berkata, beliau sedang mengumpulkan bukti berkaitan kecaman, cercaan dan dakwaan fitnah yang dilemparkan terhadapnya di media sosial untuk mempertimbangkan tindakan undang-undang sewajarnya.

Beliau menegaskan bahawa kritikan tersebut tidak akan menghalangnya daripada menjalankan tanggungjawab profesional sebagai peguam yang mewakili kedua-dua anggota polis berkenaan.

Menurutnya, khidmat guaman itu diberikan secara pro bono, iaitu tanpa bayaran, bagi memastikan hak anak guamnya terbela dan proses undang-undang berjalan secara telus.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai dakwaan yang tular di media sosial, sebaliknya menilai sesuatu isu berdasarkan fakta dan bukti.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang pada 21 Oktober lalu atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis dalam kejadian di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.

Kes berkenaan masih melalui proses perundangan.

Sumber : Harian Metro

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *