KOTA BHARU – Seorang TikToker yang juga penjual laksa, Nur Hazwani Mustapha, 39, didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah mengaibkan kehormatan bekas madunya menerusi WhatsApp.
Tertuduh telah menggelar Nur Faezah Sohaimi, 33, sebagai pelacur dalam kejadian pada jam 11.30 pagi, 1 November 2025 di Kampung Dusun Muda, Kota Bharu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Peguam tertuduh, Muhammad Husni Mubarak Ghazali, memohon hukuman diringankan dengan alasan anak guamnya merupakan ibu tunggal kepada empat anak berusia antara enam hingga 17 tahun, selain hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM50 sehari melalui perniagaan laksa.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Baihaqi Mohd Saidi. Mahkamah kemudian menjatuhkan denda RM4,500 dan tertuduh membayar wang berkenaan.
Sumber : Sinar Harian









