KUALA LUMPUR – Bayangkan buka aplikasi bank dan tiba-tiba nampak wang lebih RM1 bilion dalam akaun, sedangkan simpanan asal tak sampai RM1,000. Itulah pengalaman mengejutkan seorang lelaki dari Sarawak, Wan Muhammad Fairus, yang tidak menyangka baki akaunnya berubah dengan jumlah luar biasa.
Fairus, 33, berkata dia sedang bersiap untuk membuat transaksi apabila terlihat angka 10 digit itu. Selepas cuba log keluar dan masuk semula, jumlah tersebut masih terpapar. Dia kemudian menyemak penyata bank sebelum menyedari wang yang dipaparkan mencecah RM1 bilion.
Namun, Fairus tidak mengambil kesempatan daripada kesilapan itu. Sebaliknya, dia menghubungi pihak bank untuk melaporkan transaksi berkenaan kerana sedar wang tersebut bukan miliknya.
Pihak bank memaklumkan berlaku masalah teknikal dan akaunnya disekat sementara. Wang yang tersilap dikreditkan itu kemudian dibatalkan, manakala baki asal akaunnya tidak terjejas.
Lebih menarik, pihak bank turut memaklumkan bahawa satu ganjaran akan diberikan sebagai tanda penghargaan atas tindakannya melaporkan kesilapan tersebut. Bagaimanapun, Fairus masih menunggu maklumat lanjut mengenai bentuk ganjaran berkenaan.









