Home / Terkini / Kes Bunuh Lelaki Di Semenyih : Lima Suspek Termasuk Dedek Dan Jimmy Boy Masih Diburu

Kes Bunuh Lelaki Di Semenyih : Lima Suspek Termasuk Dedek Dan Jimmy Boy Masih Diburu

SHAH ALAM – Lima lelaki yang dikenali sebagai Dedek, Jimmy Boy, Amen, Yeye dan Apak kini diburu polis bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki berusia 42 tahun yang mayatnya ditemukan ditanam di Semenyih, Kajang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kesemua suspek berusia antara 35 hingga 48 tahun dan dipercayai masih berada di Selangor.

Kes ini bermula selepas mangsa dilaporkan hilang pada 24 September lalu. Siasatan mendapati mangsa dipercayai dilarikan menggunakan sebuah kereta dari kawasan Ampang Waterfront antara jam 4 hingga 4.30 pagi.

Tiga hari kemudian, polis dibawa ke lokasi mayat mangsa ditanam. Mangsa dipercayai dikurung dan diseksa di lokasi berbeza sebelum dibunuh. Hasil bedah siasat mendapati punca kematian ialah kecederaan akibat beberapa luka hirisan pada leher.

Setakat ini, 15 individu telah ditahan berhubung siasatan kes berkenaan, dengan sebahagian daripada mereka sudah didakwa di mahkamah atas pelbagai pertuduhan termasuk melarikan orang, membunuh dan kesalahan berkaitan senjata api.

Polis percaya kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dengan suspek. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lima lelaki terbabit diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang atau balai polis berhampiran.

Foto : BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *