Mujahid Persoal Pensejajaran Semula, Sifat Kerjasama BN-PN ‘Tikam’ Rakan
KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menyifatkan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai tindakan yang bertentangan dengan semangat Kerajaan Perpaduan.
Menurut Mujahid, keputusan BN membentuk persefahaman pilihan raya dengan PN sehingga kedua-dua gabungan itu berjaya menguasai kerajaan negeri memberi gambaran bahawa BN memilih untuk menewaskan Pakatan Harapan (PH), meskipun kedua-duanya masih bekerjasama dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Beliau mendakwa langkah tersebut boleh dianggap sebagai tindakan “menikam” rakan secara terbuka kerana kerajaan Negeri Sembilan sebelum ini dibentuk melalui kerjasama PH dan BN.
Mujahid turut berpandangan bahawa keputusan PRN berkenaan menunjukkan politik berasaskan identiti kaum dan agama memperoleh sokongan lebih besar berbanding pendekatan politik nilai merentasi kaum yang diperjuangkan PH.
Bagaimanapun, beliau menegaskan keputusan pengundi tetap perlu dihormati.
Pada masa sama, Mujahid menyuarakan kebimbangan bahawa persaingan politik yang terlalu menekankan sentimen kaum dan agama berpotensi meningkatkan ketidakpercayaan antara masyarakat serta memberi kesan kepada kestabilan dan perpaduan negara.
Beliau turut mempersoalkan sama ada perkembangan di Negeri Sembilan akan membawa kepada satu pensejajaran semula politik menjelang pilihan raya umum akan datang.
“Apakah akan berlaku pensejajaran semula…?” soalnya menerusi kenyataan selepas keputusan PRN berkenaan diumumkan.
Mujahid dalam pada itu menggesa PH melakukan muhasabah menyeluruh, mengenal pasti kelemahan parti serta membina kekuatan baharu bagi menghadapi cabaran politik seterusnya.
BN-PN kuasai 25 kerusi
Keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya menyaksikan BN memenangi 18 daripada 36 kerusi DUN, manakala PN memperoleh tujuh kerusi. PH pula memenangi 11 kerusi.
Gabungan kemenangan BN dan PN memberikan kedua-duanya sejumlah 25 kerusi, melepasi majoriti dua pertiga untuk membentuk kerajaan Negeri Sembilan.
Seramai 646,084 pengundi atau 72.64 peratus daripada keseluruhan pengundi berdaftar dilaporkan keluar mengundi dalam PRN tersebut.
Sebelum pilihan raya berlangsung, BN dan PN mencapai persefahaman supaya tidak bertembung sesama sendiri. BN bertanding di 25 kerusi, manakala PN bertanding di baki 11 kerusi.
Pemimpin kedua-dua gabungan turut mengarahkan ahli dan penyokong masing-masing memberikan undi kepada calon rakan kerjasama mereka.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini menegaskan persefahaman itu tidak bermaksud BN mahu membentuk gabungan politik baharu. Menurutnya, langkah tersebut bertujuan mengelakkan perpecahan undi Melayu serta mengambil kira kepentingan politik jangka panjang dan kestabilan negara.
