Selangor Bakal Dapat Pewaris Takhta Baharu? Tahniah Raja Muda Selangor
SHAH ALAM – Khabar gembira yang dinanti-nantikan akhirnya tiba apabila Raja Muda Selangor, DYTM Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, dan isteri tercinta, YM Datin Paduka Seri Afzaa Fadini binti Dato’ Abdul Aziz dikhabarkan bakal menimang cahaya mata, pewaris tahta Kerajaan Negeri Selangor.
Selepas hampir setahun melayari bahtera perkahwinan, pasangan yang sering menjadi perhatian ramai kerana imej moden, berpendidikan dan dekat dengan rakyat itu kini bakal memasuki fasa baharu sebagai ibu dan bapa.
Perkahwinan ini mendapat perhatian meluas apabila berlangsung dalam suasana elegan tetapi bersederhana, mencerminkan keperibadian pasangan tersebut yang lebih selesa mendekati rakyat tanpa berlebihan dalam menonjolkan kehidupan peribadi mereka.
Sejak bergelar suami isteri, Tengku Amir Shah dan Datin Paduka Seri Afzaa Fadini sering dilihat berganding bahu dalam pelbagai program kemasyarakatan, pembangunan belia, pendidikan serta kelestarian alam sekitar di Selangor.
Malah, pasangan ini turut dianggap sebagai wajah baharu institusi diraja moden yang berjaya mengimbangi tradisi, tanggungjawab dan aspirasi generasi muda.
Berita berkenaan ini semakin hari semakin mendapat perhatian ramai apabila gambar-gambar Datin Paduka Seri dilihat seolah-olah berbadan dua semakin terserlah.
Bagi rakyat Selangor, sekiranya berita Raja Muda Selangor bakal menghadiakan pewaris tahta, ia bukan sekadar kisah keluarga diraja, tetapi turut membawa makna besar sebagai kesinambungan legasi Kesultanan Selangor yang sentiasa menjadi payung kepada rakyat negeri itu.
Apa yang pasti, tahun 2026 bakal menjadi tahun yang cukup istimewa buat Tuanku Sultan Selangor, Tengku Permaisuri, Raja Muda Selangor dan Datin Paduka Seri Afzaa Fadini serta seluruh rakyat Selangor Darul Ehsan. – ABIQVERSE
