Pelaksanaan MyKad Struktur Baharu Bermula Secara Berfasa Bulan Ini
KUALA LUMPUR – Selepas lebih 20 tahun menjadi dokumen pengenalan utama rakyat Malaysia, MyKad kini memasuki era baharu menerusi pengenalan MyKad Struktur Baharu yang dilengkapi teknologi keselamatan lebih maju bagi memperkukuh perlindungan identiti dan data peribadi rakyat.
Pelaksanaan MyKad generasi baharu itu akan dilakukan secara berperingkat bermula bulan ini sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan mempertingkatkan sistem identiti nasional agar terus relevan dalam menghadapi cabaran keselamatan siber dan ancaman pemalsuan dokumen.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini memaklumkan bahawa pengenalan MyKad Struktur Baharu bertujuan memperkukuh sistem pengenalan diri negara menerusi penggunaan teknologi terkini dan ciri keselamatan yang dipertingkatkan.
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Badrul Hisham Alias berkata, MyKad baharu itu dilengkapi sebanyak 53 ciri keselamatan berbanding hanya 23 ciri pada MyKad sedia ada.
Menurut beliau, antara penambahbaikan yang diperkenalkan termasuk penggunaan kod QR bagi tujuan pengesahan dan penguatkuasaan, teknologi hologram, teks mikro, ciri keselamatan ultraungu, turihan laser serta cip dengan tahap enkripsi yang lebih tinggi.
“Penambahbaikan ini mampu meningkatkan keupayaan pengesahan identiti serta mengurangkan risiko pemalsuan dan penyalahgunaan dokumen pengenalan diri,” katanya.
Pelancaran rasmi MyKad Struktur Baharu dijangka disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tarikh yang akan diumumkan kelak.
Pada peringkat awal, pengeluaran MyKad baharu akan dilaksanakan di Ibu Pejabat JPN di Putrajaya serta 18 pejabat JPN terpilih menerusi sistem janji temu sebelum diperluaskan secara berperingkat ke seluruh negara.
Pendekatan tersebut diambil bagi memastikan proses pelaksanaan berjalan lancar dan mengelakkan kesesakan di kaunter perkhidmatan.
Sehubungan itu, JPN menasihatkan orang ramai agar tidak tergesa-gesa menukar MyKad masing-masing kerana proses penggantian akan dilaksanakan secara berperingkat dan tidak melibatkan pertukaran serentak.
Keutamaan akan diberikan kepada pemohon yang membuat janji temu melalui Sistem Janji Temu JPN serta pemegang Kad Pengenalan Plastik (KPP), Kad Pengenalan Bermutu Tinggi (KPT) dan MyKad Versi 1.
Menurut JPN, pemegang KPP, KPT dan MyKad Versi 1 diwajibkan menukar dokumen pengenalan mereka kepada MyKad Struktur Baharu dalam tempoh tiga tahun.
Pada masa sama, JPN memberi jaminan bahawa semua kad pengenalan sedia ada masih sah digunakan bagi urusan rasmi termasuk tuntutan subsidi dan bantuan kerajaan.
JPN turut menegaskan bahawa keselamatan data dan maklumat peribadi pemegang MyKad akan terus dilindungi sepanjang proses peralihan tersebut.
Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut boleh melayari laman sesawang rasmi JPN di https://www.jpn.gov.my/my/ atau platform media sosial rasmi jabatan itu.
Pengenalan MyKad Struktur Baharu merupakan kesinambungan kepada evolusi sistem identiti negara yang bermula sejak 1948 dengan penggunaan kad pengenalan berasaskan kertas, sebelum beralih kepada kad plastik pada 1960-an dan Kad Pengenalan Bermutu Tinggi pada 1980-an.
Malaysia kemudian mencipta sejarah pada tahun 2001 menerusi pelancaran MyKad yang diiktiraf sebagai antara kad pintar pelbagai guna terawal di dunia. Teknologi itu terus dipertingkatkan pada 2012 dengan penggunaan cip keselamatan lebih maju, sebelum memasuki fasa terkini melalui pelaksanaan MyKad Struktur Baharu.
