ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

MalaysiaTerkini

Akta 800 Berkuat Kuasa Hari Ini, Apa Yang Berubah Untuk Pencarum PERKESO?

KUALA LUMPUR – Bagi pencarum PERKESO yang kehilangan pekerjaan, ada beberapa perubahan penting yang mula terpakai hari ini.

Pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan dan Perkhidmatan Pekerjaan 2017 (Akta 800) mula berkuat kuasa 1 Oktober 2026, dengan beberapa faedah ditambah baik bagi membantu pencarum ketika melalui tempoh peralihan pekerjaan.

Antara perubahan utama ialah Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) yang kini dinaikkan kepada 50 peratus daripada baki Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) yang belum dibayar. Sebelum ini, kadarnya ialah 25 peratus.

Bukan itu sahaja, had maksimum Fi Latihan turut meningkat daripada RM4,000 kepada RM7,000, manakala Elaun Latihan ditetapkan pada kadar RM30 sehari.

Pencarum juga kini boleh menerima Elaun Bantuan Mobiliti (EBM) sebanyak RM1,000 secara sekali bayar sekiranya mereka kehilangan pekerjaan, menerima faedah Skim Insurans Pekerjaan (SIP) dan kemudian mendapat pekerjaan baharu yang memerlukan perpindahan lebih 100 kilometer dari kediaman.

Menurut PERKESO, keseluruhan penambahbaikan ini menyediakan faedah secara purata RM3,300 bagi setiap individu dan dijangka memberi manfaat kepada lebih tujuh juta pencarum.

Permohonan faedah boleh dibuat secara dalam talian menerusi portal LINDUNG Kerjaya atau di mana-mana kaunter PERKESO.

Dengan pindaan ini, sokongan kepada pencarum bukan hanya tertumpu ketika mereka kehilangan pekerjaan, tetapi turut merangkumi latihan, peluang kembali bekerja serta bantuan berkaitan mobiliti pekerjaan.

Sumber : BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *