NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Politik

DUN Johor Bubar Hari Ini

JOHOR BAHRU – Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang mempunyai 56 kerusi secara rasmi dibubarkan hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Pengumuman pembubaran itu dibuat Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dalam satu sidang media khas yang diadakan di kediaman rasminya di Saujana, petang ini.

Menurut beliau, pembubaran DUN dilakukan selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, dalam satu sesi menghadap yang berlangsung pagi tadi.

Keputusan itu sekali gus menamatkan pelbagai spekulasi mengenai kemungkinan pembubaran awal DUN Johor yang menjadi perbualan hangat dalam kalangan pemerhati politik dan pengguna media sosial sejak kebelakangan ini.

Terdahulu, Onn Hafiz memanggil wakil media ke kediaman rasminya bagi menghadiri sidang khas berhubung perkembangan politik negeri. DUN Johor sepatutnya terbubar secara automatik pada 21 April 2027 sekiranya tidak dibubarkan lebih awal.

Mengikut peruntukan undang-undang, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.

Dengan pembubaran rasmi hari ini, SPR dijangka mengumumkan tarikh penamaan calon, pengundian awal dan hari pengundian bagi PRN Johor ke-16 dalam masa terdekat.

Pada PRN Johor ke-15 yang berlangsung pada Mac 2022, Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri selepas meraih kemenangan besar dengan menguasai 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan.

Pakatan Harapan (PH) pula memenangi 12 kerusi, dengan DAP memperoleh 10 kerusi manakala PKR dan AMANAH masing-masing memenangi satu kerusi.

Perikatan Nasional (PN) memenangi tiga kerusi, sementara MUDA berjaya memperoleh satu kerusi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *